Komitmen sekolah terhadap pembangunan hoki masih rendah

0

KUCHING: Sukan hoki masih lagi memerlukan banyak kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak sekolah kerana maklum balas yang kurang memuaskan setiap kali pertandingan dilangsungkan.

REBUT BOLA: Antara aksi menarik kejohanan hoki bawah 18 dan 15 tahun perempuan di Kuching.

REBUT BOLA: Antara aksi menarik kejohanan hoki bawah 18 dan 15 tahun perempuan di Kuching.

“Kita perlu lebih banyak pertandingan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada kita memilih pemain untuk program pembangunan sukan hoki,” kata ahli jawatankuasa Persatuan Hoki Sarawak (PHS) merangkap sebagai pengerusi teknikal hoki MSS Bahagian Kuching, Kanggot Awan.

Beliau berkata sukan hoki berpotensi berkembang di Sarawak namun perlu diberikan perhatian dan bantuan bagi meningkatkan mutu sukan itu di negeri ini.

Katanya, Sarawak masih lagi ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung yang sudah banyak melahirkan ramai pemain bertaraf kebangsaan saban tahun.

Walaupun mendapat kerjasama dari Jabatan Pelajaran, masih terdapat sekolah yang menarik diri pada saat-saat akhir atau tidak menghantar penyertaan setiap kali pertandingan hoki antara sekolah dilangsungkan.

“Pertandingan peringkat sekolah penting kerana di situlah kita dapat menilai dan memilih pemain untuk dikembangkan bakat mereka dalam sukan hoki,” demikian kata Kanggot ketika ditemui pada kejohanan hoki bawah 15 dan 18 tahun perempuan di sini semalam.

Penyertaan yang tidak begitu konsisten telah menyebabkan banyak sekolah tidak begitu menyerlah setiap kali pertandingan dilangsungkan dan ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk tidak menyertai pertandingan itu lagi pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun, beliau memuji sekolah-sekolah yang komited dalam mengembangkan sukan hoki di kalangan pelajar, sehinggakan mampu membentuk skuad yang mampu mencabar ketika pertandingan. Antara sekolah tersebut termasuklah SMK Lake, SMK Bau, SMK Matang Jaya, SMK Penrissen No.1 dan sebagainya.

Harapan beliau untuk sukan ini agar tiada pasukan yang akan menarik diri daripada pertandingan pada masa depan. Ketika ditanya tentang program pembangunan hoki di Sarawak, Kanggot berkata mereka menerima maklum balas dan kerjasama yang baik daripada pihak Jabatan Pelajaran.

“Sebanyak 15 pusat telah disediakan oleh Sukan Prestasi Sekolah di seluruh Sarawak untuk tujuan pembangunan sukan hoki,” kata beliau.

Sukan Prestasi Sekolah yang berada di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan banyak membantu Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dalam melahirkan barisan pelapis sukan hoki negara.

Klinik hoki yang bakal dijalankan setiap Sabtu dan Ahad oleh PHS juga mampu memberi sumbangan signifikan dalam membangunkan sukan hoki di negeri ini.