Friday, August 14

Peguam syarie disaman bagi jawab tuntutan cerai fasakh

0

Beliau pula telah memfailkan tuntutan pensabitan nusyuz

KUCHING: Seorang peguam syarie disaman oleh isteri keduanya bagi menjawab tuntutan perceraian fasakh yang difailkan oleh isterinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.Dia yang dikenali sebagai Zulkeply Mohd Som, 49, disaman oleh isteri keduanya, Suri Naruddin, 38, keduaduanya berasal dari Petra Jaya, Kuching.

Sebelum ini, Zulkeply telah pun memfailkan tuntutan pensabitan nusyuz di mahkamah terhadap isterinya itu melalui peguam syarie Arip Ameran daripada Arip Ahmad Nazib & Associates.

Beberapa hari kemudian, isterinya, Suri, pula memfailkan tuntutan perceraian fasakh tanpa diwakili peguam syarie.

Sebutan semula kedua-dua tuntutan tersebut didengar serentak oleh Hakim Syarie di sini semalam.

Dalam tuntutan Zulkeply iaitu pensabitan nusyuz melalui peguamnya, Arip, mendakwa Suri enggan mendengar perintah serta tidak taat kepada suaminya.

Selain itu, Zulkeply mendakwa bahawa isterinya juga enggan bersamanya dengan menghalau dia keluar dari rumah mereka yang terletak di Petra Jaya, Kuching pada 21 Januari 2010.

Justeru, Zulkeply memohon perintah taat supaya isterinya kembali taat kepadanya dan menghalang mana-mana pihak terutama ibu mertuanya mencampuri urusan rumah tangga mereka.

Manakala menurut Suri, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan dan enggan menerima suaminya kembali.

“Saya sudah nekad untuk berpisah dengan suami saya…walau apa pun yang terjadi saya tetap teruskan perceraian ini.

“Kalau dia enggan melepaskan saya, dia sendiri yang tanggung dosa yang telah saya lakukan terhadapnya,” kata Suri di sini semalam.

Suri turut memberitahu kepada Hakim Syarie supaya tuntutan tersebut dapat dibicarakan dan diselesaikan secepat mungkin.

Namun, Hakim Syarie Sua’ibon Shamsuddin Abu Bakar menarik diri untuk mendengar kedua-dua tuntutan tersebut atas persetujuan kedua-dua pihak.

Kepadatan jadual mahkamah dan Hakim Syarie yang hanya mempunyai kelapangan pada Julai nanti menyebabkan Suri enggan menangguhkan tuntutan tersebut dalam tempoh yang lama.

Sehubungan itu, kedua-dua tuntutan tersebut akan didengar oleh Hakim Syarie yang lain pada tarikh yang akan ditetapkan dalam tempoh terdekat ini.

Zulkeply tidak hadir dan diwakili peguamnya, Arip, manakala Suri hadir tanpa diwakili peguam syarie di sini semalam. Kedua-dua pihak berkahwin pada 3 Julai 2009.