RM4.2j tambah baik infrastruktur MDLBS

0

Pelbagai kerja ke atas jalan, parit dan jambatan akan dijalankan mulai sekarang: Wong

SIBU: Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam (KASKA) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.2 juta kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) untuk melaksanakan kerja-kerja menambah baik kemudahan infrastruktur.Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kerja-kerja ini yang melibatkan penambahbaikan jalan, sistem perparitan dan beberapa buah jambatan, akan dilaksanakan oleh MDLBS dari sekarang hingga akhir tahun ini.

“Ini bermakna, MDLBS harus bekerja keras dari sekarang hingga akhir tahun ini bagi membelanjakan peruntukan yang diberikan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur termasuk jalan, parit dan beberapa buah jambatan,” ujarnya.

Wong yang juga Menteri Kewangan II berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan MDLBS, semalam. Hadir sama ialah Menteri Muda Majlis Daerah Luar Bandar John Sikie Tayai, Setiausaha Tetap KASKA Dr Penguang Manggil serta Timbalan Pengerusi MDLBS Clarence Ting Ing Horh.

Wong berkata, MDLBS turut memohon peruntukan tambahan dan kementeriannya akan mempertimbangkan permohonan tersebut bergantung kepada keperluan.

“Apa yang pasti, bermula dari sekarang hingga akhir tahun ini, MDLBS akan menambah baik sebanyak mung-kin jalan di kawasan di bawah jagaanya,” jelasnya.

“Kita percaya pihak MDLBS mempunyai keupayaan untuk menjalankan semua projek ini,” katanya sambil menambah keutamaan diberi bagi kerja-kerja menambah baik 66 batang jalan dan parit.

Wong turut memberitahu, terdapat 32 buah jambatan baily dan jambatan kayu di kawasan bawah kuasa MDLBS akan diganti kepada jambatan konkrit.

Sementara jambatan yang lebih besar, katanya, kerja-kerja akan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Menyentuh mengenai kutipan cukai taksiran, Wong memberitahu sejumlah kira-kira RM2 juta berjaya dikutip oleh MDLBS pada tahun lepas, termasuk RM188,000 levi dari ladang sawit.

“Pada tahun ini, MDLBS menganggarkan untuk mengutip sejumlah RM2.1 juta,” ujarnya sambil menambah kira-kira 22 peratus pembayar masih belum menjelaskan cukai taksiran mereka.

Sehubungan itu, Wong menyeru mereka yang belum menjelaskan cukai taksiran agar berbuat demikian dengan segera kerana itu sudah menjadi tanggungjawab mereka.

Pada mesyuarat itu, turut dibincangkan ialah kerja-kerja pemotongan rumput dan kutipan sampah, selain sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan.