Siva resah skuad hoki pincang

0

Jurulatih S’wak kehilangan separuh daripada skuad wanitanya menjelang Sukma

KUCHING: Suara kekecewaan jurulatih skuad hoki wanita Sarawak, Siva Subramaniam akhirnya tidak tertahan lagi apabila pemain harapan beliau tidak dapat bermain untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka nanti.Ketika ditemui pada kejohanan hoki bawah 15 dan 18 tahun perempuan di sini semalam, beliau memberitahu Norhimi Sabehi, 22, yang kini bertugas sebagai pegawai polis tidak diberikan pelepasan untuk mengibarkan cabaran skuad hoki wanita Sarawak pada temasya yang bakal membuka tirainya pada 10 Jun depan.

“Saya berasa kecewa kerana sebelum ini pihak kami yang telah mencungkil bakat Norhimi dalam sukan ini dan kami juga yang melatihnya sehingga ke tahap ini,” kata Siva dengan nada kecewa.

Malah kata jurulatih itu, pembabitan Norhimi dalam sukan hoki sedikit sebanyak membantu beliau mendapat kerja sebagai pegawai polis malah khidmatnya juga dikerah dalam skuad hoki wanita polis.

Siva terkilan dengan keengganan pihak atasannya melepaskan Norhimi untuk menyertai skuad sukma negeri memandangkan tiada sebarang pertandingan membabitkan skuad polis ketika ini.

Pening Siva tidak cukup di situ sahaja kerana beliau turut berdepan masalah pemilihan pemain tetap dalam pasukannya kerana dalam tempoh sebulan ini, sudah separuh daripada 24 pemainnya menarik diri. Apa yang menyedihkan, ada di antara mereka merupakan ayam tambatan beliau selama ini.

“Kebanyakan pemain nekad menarik diri daripada skuad kali ini kerana komitmen kerja, sudah mendirikan rumahtangga selain masalah peribadi masing-masing,” ujar Siva.

“Saya berasa runsing dan juga bingung kerana 12 pemain lain menarik diri namuun pemain-pemain yang ada tidak pernah patah hati dan tetap memberikan komitmen mereka,” ujar Siva.

Ketika ditanya tentang soal disiplin pemainnya, Siva memberikan pujian kepada anak-anak buahnya di atas tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan mereka dan beliau juga mengakui tidak pernah berdepan masalah disiplin membabitkan pemain-pemainnya itu.

Ditanya tentang potensi skuad hoki wanita Sarawak, Siva berkata: “Sekiranya Sarawak mempunyai satu sistem yang baik dan teratur, saya yakin mereka akan cemerlang dengan program latihan berterusan.”

Malah Siva mengakui sepanjang pembabitannya dalam sukan hoki, beliau tidak pernah menyangka Sarawak sebenarnya memiliki ramai pemain-pemain hoki yang berbakat.

Malah setakat ini, sudah lapan pemain hoki wanita Sarawak menyarung jersi skuad kebangsaan dan untuk Sukma kali ini, beliau berjaya mengumpul pemain sejauh Belaga untuk diserapkan ke dalam skuad utamanya.

Kawasan-kawasan lain seperti Kapit, Sibu, Dalat antaranya juga telah dikenal pasti malah beliau sudah mengesan lebih 100 pemain yang mampu digilap bakat mereka.

Hakikat ini, tegasnya, membuktikan Sarawak sesungguhnya memiliki ramai pemain-pemain berbakat dalam sukan hoki justeru menyeru lebih banyak stadium hoki dibina bagi menampung keperluan itu.

“Sarawak begitu berbakat bukan saja berdasarkan statistik tetapi bakat semula jadi mereka untuk bermain hoki memang tidak boleh dipandang remeh,” tegasnya.

Katanya, salah satu lokasi sesuai untuk pembinaan stadium baru adalah di Sibu kerana kedudukan strategiknya di tengah Sarawak.

Dengan Sukma yang menjelang tiba, Siva tetap yakin skuadnya kali ini, biarpun bakal dibarisi pemain-pemain baru, masih berkemampuan membuktikan kewibawaan mereka di Melaka nanti.

“Walau apapun yang kita hadapi, pemain-pemain kita tidak akan menyerah kali. Jika mereka sampai ke separuh akhir, saya sudah cukup berpuas hati,” ujarnya.