Hari penentuan kejuaraan ketika Real, Barca bertembung

0

MADRID, Sepanyol: Barcelona mungkin hanya selangkah untuk ke final Liga Juara-Juara namun malam ini (Sabtu) mereka berhadapan Real Madrid pada perlawanan hebat ‘El Clasico’ yang mungkin akan menentukan kejuaraan La Liga (Liga Primera Sepanyol) musim ini.Penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi mendapat pujian selepas permainan luar biasa yang menyaksikan beliau menjaringkan kesemua empat gol Barca ketika membelasah Arsenal 4-1 Selasa lepas.

Namun perancang Real Madrid, Guti mendakwa Barcelona bukan hanya tentang diri Messi semata-mata.

“Messi tidak perlu menjaringkan empat gol untuk kami mengenali siapa dirinya,” kata Guti. “Kami perlu memiliki satu perancangan anti-Barcelona kerana mereka bukan hanya tentang Messi.

“Walau bagaimanapun, Real Madrid sentiasa pasukan pilihan apabila bermain di gelanggang sendiri. Barcelona adalah sebuah pasukan yang hebat dengan mata yang sama namun kami tidak perlu berasa terlalu mendabik dada kerana itu bukan kami.”

Real Madrid sudah memenangi kesemua 15 perlawanan di gelanggang sendiri dalam liga musim ini untuk berada di hadapan Barca dengan kelebihan perbezaan jaringan – selepas kedua-dua pasukan terikat 77 mata – dan memburu kemenangan ke-13 berturut-turut dalam liga.

Barcelona menang 6-2 di Bernabeu musim lepas ketika memenangi tiga kejuaraan musim lepas, dan Messi menjadi pemain yang merobek teruk pertahanan Real ketika itu.

Penyerang antarabangsa Argentina itu kini berada pada prestasi tinggi apabila menjaringkan empat gol menentang Arsenal dan mengumpul 39 gol dalam semua pertandingan pada musim ini – 26 gol dalam La Liga dan lapan dalam Liga Juara-Juara.

“Sekiranya semua sebelas pemain bekerja keras, dengan bakat yang kami ada, adalah sukar untuk tewas satu perlawanan,” kata pemain tengah Barca, Xavi.  “Kami juga mempunyai pemain terbaik dunia iaitu Messi.”

Barcelona memenangi perlawanan pertama ‘El Clasico’ di Nou Camp dan sudah memenangi tiga perlawanan terakhir di antara kedua-dua kelab namun Real Madrid ketika ini sedang meledak jaringan demi jaringan dan gandingan berbisa Gonzalo Higuain dan Cristiano Ronaldo mempunyai satu purata satu gol setiap perlawanan sejak akhir-akhir ini.

Ronaldo sudah menjaringkan 11 gol dalam 10 perlawanan liga terakhir sementara Higuain, dengan 24 gol setakat ini, sudah menjaringkan 13 gol dalam 10 perlawanan liga terakhir malah sudah menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir.

“Kami tidak merasakan ada perlu untuk membalas dendam (di atas kekalahan 2-6 musim lepas),” demikian kata Ronaldo. “Kami sangat berhati-hati di mana perlawanan ini boleh menentukan La Liga. Kami mempunyai cita-cita yang tinggi untuk memenanginya.”

Kedua-dua jurulatih, Manuel Pellegrini dan Pep Guardiola menolak kepentingan perlawanan ini – mungkin cuba untuk mengalih tekanan dari bahu pemain – namun tiada siapa dapat menyangkal kepentingannya.

Satu kemenangan akan meletakkan salah sebuah pasukan berada tiga mata di singahsana liga dengan berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi dan ia adalah satu kelebihan yang amat bermakna jika dilihat kepada hakikat kedua-dua pasukan hanya tercicir 13 mata setakat musim ini.

Real Madrid mengalu-alukan kepulangan Sergio Ramos dan Xabi Alonso daripada penggantungan sementara Barcelona masih tanpa Zlatan Ibrahimovic – penjaring gol kemenangan pada perlawanan pertama di Nou Camp – kerana kecederaan.

Dua pemain pertahanan, Carles Puyol dan Gerard Pique tidak diturunkan ketika menentang Arsenal dan dijangka akan kembali semula bermain walaupun tahap kecergasan Pique diragui.

Pada perlawanan lain, Valencia dan Real Mallorca akan bertemu sesama sendiri di Stadium Ono untuk mengukuhkan kedudukan memburu tempat beraksi dalam Liga Juara-Juara pada musim hadapan.

Valencia berada di tangga kelapan liga dengan lapan mata di hadapan Mallorca, yang berada di tangga kelima namun Mallorca sudah menang 12 daripada 14 perlawanan di gelanggang sendiri musim ini dan mahu menjadikan Valencia mangsa ke-13 mereka. — AFP