Liverpool, Fulham penyelamat maruah England

0

Dua kelab Inggeris melangkah ke separuh akhir Liga Europa bersama-sama Atletico Madrid, Hamburg

PARIS, Perancis: Liverpool dan Fulham menyelamatkan maruah bola sepak Inggeris Khamis lepas (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) setelah kekecewaan penyingkiran Manchester United dan Arsenal dalam Liga Juara-Juara dua hari sebelum itu.Fernando Torres menjaringkan dua gol ketika Liverpool melangkah ke separuh akhir Liga Europa dengan kemenangan 4-1 ke atas Benfica untuk kemenangan 5-3 secara agregat,

Dengan kemenangan itu, mereka akan menentang Atletico Madrid, sekali gus mempertemukan semula Torres dengan bekas kelabnya dari Sepanyol itu.

Fulham, yang tidak begitu dikenali di pentas Eropah sebelum ini, turut meneruskan kemaraan selepas gol tunggal Bobby Zamora membantu kelabnya menewaskan Wolfsburg 1-0 untuk kemenangan 3-1 secara agregat.

Fulham, yang dibimbing oleh Roy Hodgson, akan berhadapan dengan sebuah lagi kelab dari Jerman, Hamburg ketika prospek final dua kelab Inggeris pada 12 Mei depan masih berada di atas landasan.

Liverpool, yang dibimbing Rafael Benitez, tewas 1-2 pada perlawanan pertama di Lisbon namun menempah laluan ke pusingan empat pasukan terakhir kejohanan menerusi dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama daripada Dirk Kuyt dan Lucas.

Torres menambah gol ketiga dalam separuh masa kedua perlawanan sebelum tendangan percuma Oscar Cardozo membolehkan Benfica hanya kurang satu gol untuk layak ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Namun demikian, Torres menjaringkan satu lagi gol pada minit akhir perlawanan ketika Liverpool meneruskan impian mereka untuk kejuaraan Eropah yang pertama sejak memenangi Liga Juara-Juara pada 2005.

Benitez berkata: “Ia adalah satu perlawanan yang bagus dan memandangkan pasukan lawan yang kami tentang ini cukup hebat, anda boleh berkata ia adalah satu persembahan yang hebat namun saya fikir kami telah bermain dengan lebih bagus musim ini.”

Rakan sejawatannya di Benfica, Jorge Jesus menambah: “Pemain kami dikasari dalam kawasan kotak penalti (untuk gol pertama Liverpool) dan itulah kesnya. Gol pertama itu sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan perlawanan namun Liverpool sememangnya pasukan yang hebat dan mereka selayaknya dengan kemenangan ini.”

Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher pula berkata: “ia adalah malam yang hebat. Dua puluh minit pertama mereka bermain dengan baik dan adalah penting untuk kami tidak bolos gol dan untuk menjaringkan gol pertama, ia sangat penting.

“Dalam Liga Europa, kami telah menewaskan sebuah pasukan yang cukup bagus, pasukan utama liga mereka dan ia adalah satu keputusan yang bagus.”

Zamora, yang menjaringkan gol ketika kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama, menghidupkan peluang untuk memburu satu tempat ke dalam skuad England untuk Piala Dunia 2010 apabila menjaringkan gol selepas 19 saat sepak mula di Wolfsburg ketika Fulham melangkah ke separuh akhir yang pertama dalam pertandingan Eropah.

Beliau menjaringkan gol yang menarik apabila melepasi kawalan Jan Simunek sebelum merembat kencang dengan kaki kiri.

Hodgson berasa gembira dengan gol Zamora, yang juga gol ke-19 penyerang terbabit setakat musim ini.

“Anda menjaringkan gol ketika diperlukan dan Bob (Zamora) melakukannya dengan cukup baik, gandingan beliau dengan (Zoltan) Gera sangat hebat dan ini bermakna mereka (Wolfsburg) harus menjaringkan tiga gol untuk mencapai kemenangan.”

Hamburg yang akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir musim ini, menewaskan Standard Liege 3-1 di Belgium untuk kemenangan 5-2 secara agregat.

Mladen Petric menja-ringkan dua gol sebelum Paolo Guerrero melengkapkan kemenangan dalam minit-minit kecederaan.

Quique Sanchez Flores membimbing Atletico Madrid melangkah ke peringkat separuh akhir yang pertama bola sepak Eropah dalam tempoh 11 tahun selepas terikat tanpa jaringan dengan kelab seliga, Valencia.

Keputusan itu membolehkan mereka meneruskan kemaraan ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol tempat lawan selepas seri 2-2 di Valencia pada perlawanan pertama. — AFP