Pakej Borneo mampu pikat pelancong, kata Dr Chan

0

BRUNEI: Sarawak akan memperkenalkan Pakej Borneo bagi menggalakkan lebih ramai pelancong asing yang tiba di Brunei melancong ke negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

LANCAR: Dr Chan (kanan) menerima replika tiket daripada Pengarah Eksekutif Bus Asia, Henry Lai (dua, kiri) dan pengurus besar Lai Sin Kiong (kiri) sambil disaksikan Dato’ Ku Jaafar.

LANCAR: Dr Chan (kanan) menerima replika tiket daripada Pengarah Eksekutif Bus Asia, Henry Lai (dua, kiri) dan pengurus besar Lai Sin Kiong (kiri) sambil disaksikan Dato’ Ku Jaafar.

Beliau berkata, pakej tersebut akan diusahakan dengan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada negara Brunei Darussalam dan Sabah.

“Melalui kerjasama ini, Sarawak, Sabah dan Brunei akan menawarkan pakej pelancongan yang menarik di tempat masing-masing.

“Saya percaya usaha ini akan memantapkan sektor pelancongan di ketiga-tiga negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Kembara Sarawak di The Mall, Gadong, Bandar Seri Begawan semalam.

Sehubungan itu, beliau yang merangkap Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak mencadangkan kepada syarikat penerbangan dan pemain sektor pelancongan di Sarawak, khususnya di Miri dan Brunei untuk menawarkan pakej tempat menarik dan unik di kedua-dua negara.

“Kerjasama Royal Brunei Airlines (RBA) dan Malaysia Airlines (MAS) melalui perkongsian laluan dan perkhidmatan amat penting dalam mempromosikan pelancoangan di Brunei dan Sarawak termasuk Sabah.”

Beliau optimis usaha ini akan memantapkan usaha ‘menjual’ pakej pelancongan di kedua-dua negara ke seluruh dunia.

Menyentuh mengenai Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Hotel Empire (Brunei) dan Kota Kinabalu (Sabah), Dr Chan berkata ketiga-tiga tarikan ini berupaya menarik ramai pelancong dari luar negara untuk melawat Malaysia dan Brunei.

“Kebanyakan pelancong dating dari jauh dan melawat satu negara pada satu-satu masa. Gandingan Sabah, Sarawak dan Brunei ini amat tepat kerana pelancong dapat melancong ke dua negara pada satu masa,” katanya.

Mengenai pameran tersebut yang bermula semalam hingga 11 April, Dr Chan berkata ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sarawak, khususnya Miri sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini.

“Diharapkan pameran ini dapat memberi maklumat sepenuhnya kepada para pelancong dan warga Brunei mengenai pakej pelancongan yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Malaysia dan Brunei semalam melancarkan perkhidmatan bas yang disediakan oleh Bus Asia, iaitu bas milik Brunei, sekali gus mencatat satu lagi mercu tanda dalam sector pelancongan.

“Dengan perkembangan ini kita berharap mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Brunei untuk menggalakkan rakyatnya, ekspatriat dan penumpang antarabangsa untuk melancong ke Sarawak,” katanya.

“Dengan perkembangan terbaru itu, kita menjangka kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan Brunei,” kata Dr Chan.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato’ Rashid Khan dan Pengarah Pelancongan Malaysia di Brunei Jamilah Abdul Halim.