Petrol bercampur air kes terpencil

0

Ia boleh bercampur dengan air melalui pelbagai cara tetapi stesen minyak juga mempunyai pelbagai cara bagi mengatasinya

SIBU: Terdapat kemungkinan petrol yang dijual di stesen-stesen minyak di sini bercampur air, yang apabila dimasukkan ke dalam tangki kenderaan boleh menjejaskan prestasi kenderaan.Seorang pengusaha stesen minyak Shell di sini, Enyang Menchol berkata, petrol boleh bercampur dengan air melalui pelbagai cara.

“Salah satu cara adalah disebabkan kecuaian manusia itu sendiri, misalnya kakitangan stesen yang membuat kerja mereka dengan tidak betul,” katanya kepada pemberita, semalam.

Selain itu, katanya, wap air juga boleh terbentuk di dalam tangki simpanan petrol yang ditanam di bawah tanah, terutama pada waktu pagi.

“Di samping itu, kebocoran pada tangki simpanan petrol yang lama dan pada sambungan paip juga menyumbang kepada campuran air dalam minyak,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan petrol yang disimpan di dalam tangki di stesen minyak boleh bercampur dengan air.

Beliau diajukan perkara itu setelah pemberita menerima aduan daripada seorang pemilik kenderaan yang mendakwa petrol yang dipamnya bercampur dengan air.

Menurut Enyang lagi, kemungkinan petrol bercampur dengan air sememangnya berlaku, namun kebarangkalian itu adalah rendah.

“Ini kerana stesen-stesen minyak seperti Shell sentiasa mengambil langkah bagi memastikan percampuran seperti ini tidak berlaku,” jelasnya.

Antara langkah yang diambil Shell ialah pemeriksaan tangki simpanan petrol seminggu sekali bagi mengesan kewujudan air dengan menggunakan sejenis bahan kimia yang dipanggil ‘water finding paste’.

Enyang menjelaskan, jika terdapat air di dalam tangki simpanan, ia akan disedut keluar menggunakan pam.

Disebabkan air lebih tumpat daripada minyak, ia akan tenggelam ke dasar tangki, memudahkannya untuk dipam keluar.

Di samping itu, katanya, satu penapis juga dipasang di pam minyak bagi menapis air dan sebarang kekotoran, sebelum minyak yang dipam memasuki tangki minyak kenderaan.

“Kes minyak petrol yang bercampur dengan air itu mungkin satu kes yang terpencil. Kes seumpama ini jarang berlaku,” tambah beliau.

Beliau juga menasihati orang ramai agar mendapatkan resit setiap kali membeli minyak sebagai bukti pembelian bagi tujuan menyokong dakwaan mereka sekiranya ada berlaku perkara seperti itu.