RM200 juta untuk Kapit

0

Kerajaan akan bangunkan projek bekalan tenaga elektrik dan air: Taib

SONG: Projek bekalan tenaga elektrik dan air bernilai kira-kira RM200 juta yang dilaksanakan di bahagian Kapit sehingga 2012 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang berkaitan dengan usaha membangunkan kawasan luar bandar, bertujuan membantu meningkatkan standard kehidupan rakyat, kata Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.Beliau berkata pelaksanaan projek itu juga bertujuan untuk melengkapkan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Ini juga bertujuan menjana ekonomi, ada banyak lagi projek yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 yang akan diumumkan apabila tiba masanya nanti,” katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan dengan rakyat di Dewan Masyarakat di sini semalam.

Katanya daerah Song sendiri baru-baru ini menerima peruntukan RM271 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembinaan infrastruktur, kemudahan, dan makmal sekolah.

Menurutnya daripada jumlah ini, RM85 juta akan digunakan bagi pembinaan awal laluan sejauh 9 kilometer Poi/ Ngemah/Temalat/Song/Kapit, yang akan menghubungkan bandar Song dan Kapit, dengan Sibu, manakala RM38 juta lagi diperuntukkan untuk pengambilan tanah bagi tujuan itu.

Taib berkata adalah sukar untuk membangunkan kawasan luar bandar yang luas seperti bahagian Kapit di sebabkan saiznya yang luas, bentuk mukabuminya yang tidak sekata, dan sumber asli yang terhad.

“Namun diharapkan dengan pembinaan projek mega empangan hidro Bakun dan Murum, ia dapat menjana dana yang mencukupi menerusi penjualan tenaga eletrik untuk membiayai pembangunan,” katanya.

Beliau berkata perlaksanaan kedua-dua empangan itu juga bermakna lebih banyak kilang akan dibina, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi lebih mantap dan membawa lebih banyak peluang pekerjaan.

Taib dengan rancagan-rancangan pembangunan mulai ditampilkan kerajaan, kini terpulan kepada pemimpinpemimpin tempatan untuk terus bekerjasama rapat bagi memastikan kejayaan mereka. — Bernama