Nama calon kerusi Parlimen Sibu akan diserah kepada Dr Chan

0

SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu telah mencadangkan nama calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.Pengerusinya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, nama calon berkenaan akan diserahkan kepada Presiden parti, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan sebelum diumumkan.

“SUPP Sibu memiliki seorang calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu. Identiti calon hanya akan diketahui apabila diumumkan Presiden parti kelak,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, 68, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada Jumaat lepas.

Ketika ditanya sama ada calon yang dimaksudkan ialah Ahli Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Robert Lau Hoi Yew, Wong bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

Katanya, calon yang dipilih bertanding sememangnya sinonim dengan penduduk Sibu selain merupakan sebahagian daripada Pasukan Pembangunan Berwawasan Barisan Nasional (BN) Sibu.

“Calon yang dipilih berdasarkan perjuangan terhadap kepentingan rakyat selain dapat meneruskan kesinambungan perjuangan mendiang Datuk Robert Lau yang masih belum terlaksana semasa hayatnya,” ujar beliau lagi.

Ketika ditanya mengenai persiapan SUPP bagi menghadapi pilihan raya, Wong memberitahu, secara keseluruhan SUPP Sibu berada dalam keadaan siap sedia.

Bagaimanapun, jelas beliau, terdapat beberapa perubahan mungkin terpaksa dibuat kerana jentera yang sedia ada dan diketuai beliau sendiri ditubuhkan tahun lalu bagi menghadapi pilihan raya negeri.

Menyentuh mengenai kenyataan yang dibuat Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Wong Ho Leng yang membayangkan kerajaan BN menyediakan peruntukan sehingga RM500 juta bagi mempertahankan parlimen Sibu, Wong memberitahu mereka (DAP) berhak untuk berkata apa sahaja.

“Kita akan terus bekerja dan menunaikan tanggungjawab seperti yang telah diamanahkan,” ujarnya.