Monday, June 14

Dua kes jenayah pecah amanah berjaya diselesaikan

0

BINTULU: Bahagian Jenayah Komersial PDRM Bintulu berjaya menyelesaikan dua kes pecah amanah yang masing-masingnya membabitkan wang RM1.3 juta dan RM50,678.Satu lagi kes membabitkan wang berjumlah RM1.1 juta masih dalam siasatan, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mohd Firdaus Abdullah.

Menurut Mohd Firdaus, kes pertama di Bahagian ini berlaku empat tahun lepas membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja di sebuah syarikat persendirian.

“Kes ini dilaporkan pada September tahun 2009 selepas enam bulan siasatan dilakukan.

Siasatan mengenai kes terbabit telah siap dan menunggu untuk pendakwaan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu semalam.

Manakala kes kedua membabitkan seorang wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah hotel di sini, katanya.

“Kes yang dilaporkan pada minggu lepas juga telah selesai dan suspek akan didakwa di mahkamah dalam minggu ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua wang yang digelapkan oleh dua suspek terbabit telah hilang dan tidak ditemui.

Katanya, pemeriksaan audit dan berkaitan seharusnya lebih ketat dilakukan membabitkan kaunter hadapan mahupun tempat makan dan minum dalam sebuah hotel supaya tidak berlaku kes seumpamanya.

“Wanita ini mengambil kesempatan menggunakan wang tersebut terlebih dahulu dan seterusnya menjadi tabiat, diikuti kes ketiga pula yang masih dalam siasatan yang berlaku 14 tahun lalu, membabitkan wang berjumlah RM1.1 juta,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut baru disedari pihak syarikat terbabit dan seterusnya dilaporkan pada Januari 2010, membabitkan tiga suspek yang juga merupakan pengarah syarikat pembinaan tersebut yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Katanya, tiga suspek lelaki itu merupakan orang Sarawak dan kini siasatan terhadap mereka masih berjalan.

Jelasnya, sebanyak 19 kes direkodkan oleh Bahagian Jenayah Komersial pada tahun 2009 berlaku di bahagian ini dengan 17 kes membabitkan syarikat dengan nilai kerugian melebih RM1.6 juta.

“Lapan suspek ditahan dalam 19 kes ini dan telah didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, dari Januari hingga Mac 2010 tahun ini, kes pecah amanah yang direkodkan ialah sebanyak lapan kes membabitkan tujuh syarikat dan institusi kewangan di sini dengan enam orang telah ditangkap serta membabitkan kerugian berjumlah RM1.2 juta.

Manakala kes pecah amanah di seluruh Sarawak untuk tahun 2009, katanya, pihaknya merekodkan 135 kes dari Januari hingga Disember 2009 membabitkan kerugian berjumlah RM9 juta.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja di bahagian ini menasihati institusi kewangan dan syarikat agar membuat pemeriksaan lebih ketat terhadap pekerja mereka, terutamanya membabitkan transaksi kewangan, tegas dalam kawalan kewangan, pengauditan wang syarikat dan sebagainya supaya tidak berlaku kejadian pecah amanah.

“Tindakan pekerja menggelapkan wang melalui transaksi seharusnya menjadi pengajaran. Mereka tidak memikir akan kesan dan akibatnya. Mengambil wang syarikat bermakna telah melanggar undang-undang, dan apabila berlaku begitu maka siasatan, penahanan dan pendakwaan akan dilakukan ke atas suspek,” katanya.

Jelasnya, pendekatan lain yang boleh dilakukan oleh pemilik syarikat ialah kerap memeriksa cara hidup pekerja mereka yang mungkin ada sesuatu kelainan dari segi pemilikan kenderaan termasuk berbelanja di restoran mewah, pembelian barangan mewah serta percutian yang mencurigakan.

Katanya, kes ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya pengurus kewangan dan pengawal audit yang ada menjalankan tanggungjawab mereka lebih berkesan.

Dua pegawai penyiasat Jenayah Komersial Inspektor Noor Asri Ibrahim dan Inspektor Wee Soon Guan turut hadir pada sidang media itu.