Impian tiga kejuaraan Inter kekal di atas landasan

0

Kemenangan ke atas Fiorentina jamin final buat kali kelima gergasi Serie A dalam tempoh enam tahun

ROM, Itali: Inter Milan mengekalkan sasaran memburu tiga kejuaraan musim ini apabila menang 1-0 di Fiorentina pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala Itali Selasa lepas (awal pagi Rabu waktu Malaysia) untuk melangkah ke final dengan agregat 2-0.Gol tunggal Samuel Eto’o, 12 minit selepas rehat memastikan Inter melangkah ke final Piala Itali buat kali kelima dalam enam tahun.

Sekianya AS Roma berjaya mempertahankan kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama menentang Udinese minggu hadapan, ia juga final kelima di antara kedua-dua pasukan dalam enam tahun terakhir itu.

Penolong jurulatih Inter, Daniele Bernazzani memberitahu Rai TV di mana beliau berpuas hati dengan kemenangan itu.

“Kami bermain seperti yang kami mahukan, tidak mengambil terlalu banyak risiko, bertahan dalam separuh masa pertama dan gol Eto’o menamatkan saingan mereka,” kata beliau.

“Pada bulan ini, kami bermain untuk segala-galanya tetapi ia juga bermakna kami terus meningkatkan prestasi. Saya akan memberikan segala-galanya untuk berada dalam situasi ini.”

Jurulatih Fiorentina, Cesare Prandelli berkata gol itu mengecewakan pasukannya.

“Kami bolos satu gol dan hilang keyakinan, itulah kuncinya. Ia mengecewakan kerana kami memberikan saingan yang kuat,” katanya.

“Kami cuba memasang perangkap ofsaid yang tidak perlu dan kerana itu kami dihukum.”

Dengan pasukannya melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan bersaing dengan AS Roma dan AC Milan untuk kejuaraan Serie A Itali, jurulatih Inter, Jose Mourinho mungkin mempunyai gambaran yang jelas tentang keutamaannya dengan merehatkan beberapa pemain bintang.

Penjaring terbanyak, Diego Milito, pemain pertahanan tengah, Walter Samuel, perancang Wesley Sneijder dan pemain tengah Esteban Cambiasso disenaraikan di bangku simpanan ketika penyerang remaja, Mario Balotelli berada dalam kesebelasan utama.

Dan Balotelli mempunyai peluang terbaik pada minit ke-21 apabila melepasi kawalan Lorenzo De Silvestri tetapi ketika terus diasak, beliau gagal melakukan tendangan kemas ke pintu gol.

Empat minit selepas itu, Fiorentina mempunyai peluang terbaik apabila Alberto Gilardino mengawal bola tendangan jauh dalam kotak penalti, berputar dan merembat menerusi celah kaki penjaga gol Julio Cesar tetapi pertahanan tengah, Lucio berada di tempat yang tepat untuk menolak bola sebelum ia melepasi garisan pintu gol.

Beberapa hadangan saat akhir menyelamatkan Inter sekali lagi apabila Cristiano Zanetti menemui Gilardino tidak dikawal di hadapan pintu gol tetapi Cristian Chivu sempat menghadang rembatan.

Empat minit selepas rehat, Balotelli menunjukkan beliau adalah bakat luar biasa apabila melakukan satu rembatan kencang dari jarak 30 kaki tetapi bola berjaya ditepis penjaga gol Sebastian Frey.

Dan pada minit ke-57, Fiorentina seperti sudah berputus asa selepas Eto’o membuka jaringan buat pasukan pelawat — AFP