Button terpantas sesi latihan

0

SHANGHAI, China: Jenson Button dari pasukan McLaren mendahului latihan pembukaan bagi Grand Prix Formula Satu China semalam selepas sesi yang dicemari nahas dramatik membabitkan pelumba muda dari Switzerland, Sebastien Buemi.

SEDIA BERAKSI: Pemandu McLaren, Jenson Button keluar dari laluan pit pada sesi latihan pertama bagi Grand Prix Formula Satu China di Shanghai, China semalam. — Gambar AFP

SEDIA BERAKSI: Pemandu McLaren, Jenson Button keluar dari laluan pit pada sesi latihan pertama bagi Grand Prix Formula Satu China di Shanghai, China semalam. — Gambar AFP

Buemi, 21 tahun yang memandu untuk Scuderia Toro Rosso, terbabas dengan teruk di hujung laluan lurus Litar Antarabangsa Shanghai ketika masa berbaki 15 minit dalam sesi selama 90 minit.

Pelumba Switzerland itu, yang tidak beraksi pada kebanyakan masa pada peringkat awal sesi disebabkan oleh kebocoran pada sistem brek, terbabas selepas kedua-dua tayar depan kereta tertanggal ketika membrek di hujung laluan terus sepanjang 310 kilometer, merosakkan suspensi dan menyebabkannya melanggar benteng.

Buemi bernasib baik kerana masih dapat berjalan kaki ke laluan pit dari nahas teruk berkenaan. Beliau menduduki tempat ke-17 pada waktu kejadian.

Button, juara dunia bertahan, mencatatkan masa terbaik sesi 1 minit 36.677 saat sejurus selepas pertengahan jalan, hanya 0.071 saat lebih cepat daripada pemandu Mercedes, Nico Rosberg yang menduduki tempat kedua.

Rakan sepasukan Button, Lewis Hamilton menduduki tempat ketiga, ketinggalan kurang satu per sepuluh saat. Michael Schumacher (Mercedes) menduduki tempat keempat, manakala Sebastian Vettel (Red Bull Racing), pemenang perlumbaan di Malaysia dua minggu lalu, melengkapkan lima pelumba terpantas.

Masalah ketahanan enjin Ferrari berterusan, dengan juara dunia sebanyak dua kali Fernando Alonso menamatkan sesi di kedudukan tercorot dalam carta masa apabila enjin meletup selepas 50 minit.

Pelumba Sepanyol itu melakukan pusingan pantas pertama beliau dalam sesi tersebut apabila bahagian kanan keretanya terbakar ketika memasuki selekoh tajam di selekoh keenam, dan beliau terpaksa direhatkan sehingga sesi tamat.

Alonso, yang terkeluar dari kedudukan mata pada perlumbaan terakhir di Malaysia dengan kerosakan enjin, menggunakan enjin yang telah digantikan oleh pasukannya disebabkan oleh masalah daya tahan enjin sebelum perlumbaan pembukaan musim di Bahrain. — AFP