Penjual burger mati lemas terjatuh dari jeti

0

KUCHING: Mayat seorang penjual burger yang lemas setelah terjatuh dari jeti di Kampung Sejingkat telah ditemui oleh penduduk kampung itu pada malam kelmarin (Khamis).Mangsa yang dikenali sebagai Nurulizam Tahir, 26, ditemui terapung tidak jauh dari tempat dia terjatuh oleh pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di kawasan tersebut sekitar jam 8.30 malam.

Nurulizam dipercayai terjatuh dari jeti tersebut sekitar jam 7 malam selepas minum bersama rakan-rakannya.

Kawan mangsa Awang Busamah, memberitahu Nurulizam yang tinggal berdekatan dengan Kampung Senari datang berjumpanya sekitar jam 5 petang yang kemudiannya mengajaknya untuk duduk di jeti tersebut sambil minum.

“Sekitar jam 7 malam, saya pulang ke rumah sekejap untuk memberi monyet peliharaan saya makan dan terpaksa meninggalkan Nurulizam seorang di situ.

“Selepas beberapa minit saya kembali ke jeti tersebut dan mendapati mangsa sudah tidak ada di situ,” katanya.

Bagaimanapun Awang telah diberitahu oleh beberapa orang nelayan yang berada di situ yang ada seorang lelaki telah jatuh dari jeti tersebut.

“Pada mulanya saya tidak pasti bahawa orang yang jatuh itu adalah Nurulizam.

“Dan saya mula mengesyaki orang itu adalah Nurulizam apabila saya menjumpai helmet milliknya tidak berapa jauh dari sungai tersebut,” katanya.

Awang kemudiannya bersama- sama penduduk kampung dengan kerjasama pasukan RELA kawasan tersebut terus berusaha untuk mencari mayat Nurulizam.

Pasukan polis dari Balai Polis Gita yang diketuai oleh Cif Inspektor Fauzan Abu Kassim juga berada di tempat kejadian untuk menyiasat kejadian itu.

Pasukan perubatan yang tiba sejurus mendapat laporan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Pasukan Bomba dan Penyelamat turut menghantar kakitangan sementara keluarga mangsa termasuk ibu bapanya juga berada di tempat kejadian.