Ronaldo nadi kebangkitan Real Madrid di Almeria

0

Kemenangan tipis menjadi bukti anak-anak buah Pellegrini belum mengaku kalah mencabar Barcelona

MADRID, Sepanyol: Real Madrid membuktikan mereka belum lagi mengaku kalah dalam perebutan kejuaraan apabila bangkit daripada kekalahan kepada Barcelona dalam pertembungan ‘El Clasico’ dengan kemenangan 2-1 di Almeria pada Khamis lepas (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) untuk merapatkan jurang kedudukan kepada tiga mata di belakang Barcelona di puncak La Liga.Albert Crusat membuat kejutan apabila beliau meletakkan Almeira di hadapan dengan jaringan gol pada minit ke-14 tetapi Real bangkit dengan gol liga ke-19 Cristiano Ronaldo pada musim ini dan gol minit ke-69 daripada Rafael van der Vaart untuk memastikan kemenangan bergaya buat pasukan pelawat.

“Saya terlepas banyak peluang, jadi ia adalah menyeronokkan untuk akhirnya menjaringkan gol,” kata wira gol kemenangan Real Madrid, van der Vaart. “Kami mahu memenangi kejuaraan dan perlu memenangi baki enam perlawanan yang ada.

“Kami menikmati musim yang hebat tetapi Barcelona bermain sedikit lebih baik daripada kami.”

Barcelona menyusuli kemenangan mereka ke atas Real Madrid dengan kemenangan 3-0 yang meyakinkan ke atas Deportivo La Coruna pada Rabu lepas untuk meninggalkan pasukan-pasukan lain dengan kelebihan enam mata dan memberi tekanan kepada pencabar mereka.

Real Madrid menjawab dengan kemenangan ketujuh berturut-turut di gelanggang lawan bagi memastikan mereka masih berpeluang merebut kejuaraan walaupun perlu memenangi baki enam perlawanan seterusnya sambil berharap Barca tersandung langkah mereka untuk membolehkan mereka memenangi kejuaraan pada musim ini.

Valencia merupakan lawan Real seterusnya di Santiago Bernabeu malam esok (Ahad) dan mereka membuat persiapan untuk perlawanan itu dengan kemenangan 2-0 di tempat sendiri ke atas Athletic Bilbao pada Khamis lepas.

Pemain antarabangsa Sepanyol, David Silva menjaringkan kedua-dua gol (minit ke-34 dan ke-62) untuk membantu Valencia yang menduduki tempat ketiga melebarkan jurang kepada tujuh mata dengan Mallorca menduduki tempat keempat dan kelihatan pasti akan memperolehi salah satu tempat dalam Liga Juara-Juara pada musim ini.

Bilbao kekal di tempat keenam dan berhadapan dengan cabaran yang benar-benar getir untuk memastikan mereka masih bermain dalam Liga Europa dengan Getafe dan Villarreal tidak jauh ketinggalan di belakang.

Real Madrid melakukan hanya satu perubahan sahaja kepada pasukan yang tewas di tangan Barcelona dengan Guti mengisi bahagian tengah selepas pemain pertahanan Argentina, Ezequiel Garay tidak dapat bermain kerana cedera.

Almeria, sedikit di bawah pertengahan carta liga, tidak ada sebab untuk bermain kecuali kebanggaan menewaskan Real dan pasukan pelawat hampir menjaringkan gol selepas tiga minit perlawanan bermula apabila van der Vaart merembat bola ke arah penjaga gol Diego Alves dari jarak dekat.

Enam minit kemudian, Ronaldo memaksa Alves menyelamatkan percubaannya dari tendangan percuma yang seakan-akan hendak memasuki gol, namun Almeira pula yang menjaringkan gol terlebih dahulu.

Real kelihatan keliru di bahagian belakang dan Kalu Uche menghantar bola di hadapan gawang dan Crusat tiba tepat pada waktunya untuk merembat bola ke dalam gawang.

Real Madrid terkejut tetapi Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-27 apabila beliau berjaya menggelecek dua pemain pertahanan dengan satu gerakan cantik sebelum merembat bola dengan kaki kiri.

Cubaan Guti terkena tiang gol sejurus kemudian tetapi Almeira mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului kedudukan sekali lagi pada minit ke-30.

Uche, pemain Nigeria, nampak pasti akan menjaringkan gol semeter dari gawang tetapi entah kenapa cuba melakukan kuisan dan tidak menolak bola dengan tepi kaki, dan ia memakan diri kerana bola melantun ke kakinya yang sebelah dan peluang itu disia-siakan.

Di babak kedua, Real mengasak Almeira bertubi-tubi dan Gonzalo Higuain melihat cubaannya diselamatkan di atas garisan gol pada minit ke-58 manakala pemain Brazil, Marcelo dinafikan oleh Alves yang bermain cemerlang tiga minit kemudian.

Ia kelihatan seperti malam yang mengecewakan bagi Real Madrid tetapi van der Vaart melakukan rembatan kencang dengan kaki kiri pada minit ke-69 untuk akhirnya menewaskan Alves.

Empat minit kemudian, Uche kelihatan pasti akan menyamakan kedudukan selepas kesilapan yang teruk oleh pemain pertahanan Raul Albiol tetapi penjaga gol Iker Casillas menyelamatkan keadaan apabila beliau meluru ke hadapan untuk mematahkan percubaan penyerang itu. — AFP