Anggota RELA ada perlindungan insurans

0

Langkah itu perlu sebagai persiapan daripada kejadian yang tidak diingini

SERIAN: Semua anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) digalakkan untuk melengkapkan diri dengan insurans sebagai persiapan daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini.Pegawai Logistik RELA Negeri Leftenen Kolonel Mahmudin Kipli berkata insuran penting untuk melindungi diri dan memberi keselamatan kewangan.

“Liputan insurans yang ditawarkan kepada anggotaanggota RELA adalah 24 jam tanpa mengira semasa mereka bertugas ataupun tidak,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek pampas an insurans berkelompok RELA, di Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Menurutnya, liputan insurans itu juga meluas walaupun ketika berada di luar negara selain nilai pampasan insurans jika berada di luar negara adalah berganda.

RELA Daerah Serian Lt Kol Jipep Deais berkata ia penting agar mampu meringankan beban keluarga.

“Dalam tempoh perkhidmatan saya dari 2000 sehingga kini, seramai empat anggota (RELA) yang meninggal dunia dan pampasan diberi kepada keluarga mereka.

“Bagaimanapun, beberapa keluarga anggota RELA yang meninggal tidak mendapat sebarang pampasan berikutan dengan faktor insuran yang tamat tempoh,” katanya.

Jipep berkata, pampasan itu sekurang-kurangnya dapat digunakan sekiranya kemalangan berlaku untuk membayar kos perubatan atau jika melibatkan kematian, ia dapat menampung perbelanjaan keluarga.

Insuran itu perlu diperbaharui setiap tahun dengan kadar RM40 sahaja.

Sementara itu, majlis menyaksikan penyampaian cek pampasan insuran kemalangan diri berkelompok bernilai RM22,000 kepada seorang balu Maria Parim Singit, 40.

Suaminya, mendiang Collin Gideon meninggal dunia akibat kejutan elektrik ketika berada di tempat kerja pada Mei tahun lepas.

Maria berkata pampasan itu sedikit sebanyak akan meringankan beban untuk menampung perbelanjaan tiga orang anaknya, Bellemy Dale, 17. Keith Victor, 16 dan Nick Jared, 11.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota-anggota RELA yang bertungkus lumus membantu saya ketika saya ditimpa kesusahan dan memberi sokongan moral kepada saya,” katanya.