Ronaldo, Higuain pastikan Real terus cabar Barcelona

0

MADRID, Sepanyol: Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo dan Gonzalo Higuain masing-masing menjaringkan satu gol ketika Real merapati kedudukan di belakang pendahulu La Liga, Barcelona dengan kurang satu mata ekoran kemenangan 2-0 ke atas pasukan di tangga ketiga liga, Valencia Ahad lepas, sekali gus mempersiapkan saingan kejuaraan yang sengit sehingga akhir musim.Keputusan seri tanpa jaringan di antara Barcelona dan Espanyol pada perlawanan hari Sabtu memberikan peluang kepada Real untuk merapatkan kedudukan dan mereka melakukannya dengan bergaya apabila Higuain menjaringkan gol ke-25 beliau musim ini pada minit ke-25 sebelum Ronaldo melengkapkan kemenangan pada minit ke-77, untuk gol ke-20 peribadinya.

Dengan baki lima perlawanan, Real hanya satu mata di belakang musuh tradisi mereka namun jika kedua-dua pasukan menamatkan musim dengan mata yang sama, Barcelona tetap juara kerana mempunyai rekod pertemuan lebih baik di antara kedua-dua pasukan setelah menang di gelanggang sendiri dan di Real Madrid pada musim ini.

Ia adalah kemenangan ke-16 daripada 17 perlawanan liga di Bernabeu untuk Real — dengan kekalahan kepada Barca mencacatkan rekod mereka — dan Higuain hanya kurang dua gol di belakang penyerang sensasi Barca, Lionel Messi, yang menjaringkan 27 gol dalam saingan untuk anugerah penjaring terbanyak liga.

Valencia, yang ketinggalan 24 mata di belakang Real, berada lima mata di hadapan Sevilla ekoran kekalahan kelapan mereka dalam liga musim ini dan pastinya kecewa apabila rembatan David Villa terkena palang sebelum Ronaldo menjaringkan gol kedua.

Real tidak menurunkan Kaka sekali lagi kerana pemain tengah antarabangsa Brazil itu belum cergas sepenuhnya sementara Sergio Ramos terus mengisi posisi pertahanan tengah ketika ketiadaan Ezequiel Garay.

Bagi Valencia, tumpuannya ke atas Silva, yang dikaitkan dengan satu perpindahan lumayan ke Real Madrid oleh media tempatan.

Dengan lapan minit baru bermula, Rafael van der Vaart, yang menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Almeria pada pertengahan minggu, mempunyai cubaan awal tetapi rembatan kaki kanannya lemah.

Guti seharusnya boleh menjaringkan gol pada minit ke-19 selepas umpanan cantik daripada Ronaldo tetapi rembatannya tersasar.

Valencia terus diasak dan akhirnya pada minit ke-25, Higuain menewaskan penjaga gol Cesar Sanchez selepas melepasi pemain yang mengawalnya.

Empat minit kemudian, Higuain mengumpan bola kepada van der Vaart tetapi pemain antarabangsa Belanda itu gagal melakukan penyudah dengan baik.

Pemain pertahanan Valencia, Alexis Delgado mempunyai peluang untuk pasukan pelawat tetapi tandukannya pada minit ke-33 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Real, Iker Casillas.

Marcelo kemudian menguji Cesar pada awal separuh masa kedua ketika Real terus menguasai permainan.

Valencia bagaimanapun masih mengintai peluang dan satu rembatan kencang Silva pada minit ke-74 terkena palang walaupun sudah menewaskan Casillas.

Dan empat minit kemudian, Marcelo melakukan umpanan kepada Ronaldo untuk gol kedua dan menamatkan saingan Valencia. — AFP