Bayern sekadar menang tipis ke atas Lyon

0

Pasukan pelawat pula gagal jaringkan gol penting di tempat lawan dalam kekalahan 0-1

MUNICH, Jerman: Ledakan pemain sayap antarabangsa Belanda, Arjen Robben memastikan kemenangan 1-0 Bayern Munich ke atas Lyon Rabu lepas (awal pagi Khamis waktu Malaysia), sekali gus memberi kelebihan tipis buat kelab gergasi Jerman itu menjelang perlawanan kedua peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara  pada minggu hadapan.Penyingkiran perancang Bayern, Franck Ribery pada babak pertama perlawanan kerana asakan berbahaya diimbangi pemain pertahanan Lyon, Jeremy Toulalan yang turut dibuang padang selepas waktu rehat apabila dilayangkan kad kuning kedua sebelum Robben menjaringkan gol kemenangan buat pasukan tuan rumah.

Sejak menyertai Bayern dari Real Madrid pada Ogos 2009, Robben kini sudah menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan namun tiada yang lebih penting daripada jaringan golnya pada minit ke-60 yang melantun dari belakang rakan sepasukannya, Thomas Mueller dan mencecah gawang gol.

“Mengekalkan ketenangan amatlah penting untuk kami walaupun terpaksa bermain dengan sepuluh pemain sahaja,” kata pemangku kapten Bayern, Philipp Lahm selepas kapten Mark van Bommel digantung perlawanan.

“Kami bermain dengan baik dan menguasai bola dengan baik juga.

“Ia pasti sukar untuk menyenangkan hati Franck selepas dilayangkan kad merah, beliau merupakan seorang pemain bola sepak yang cemerlang dan sentiasa mahu menang.

“Kami memang berasa terkilan dengan penggantungannya untuk perlawanan kedua nanti.”

Semua berita sebelum perlawanan berkisar tentang Robery yang disoal siasat oleh pihak polis Perancis pada hujung minggu lepas setelah terlibat dalam skandal pelacur bawah umur yang menggegarkan skuad bola sepak Perancis.

Ribery tidak mahu menonjolkan diri menjelang perlawanan namun beliau dan Toulalan kini tidak akan bermain pada perlawanan timbal balik di Lyon pada minggu hadapan.

Selepas mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol, Ribery terus dilayangkan kad merah oleh pengadil Roberto Rosetti pada minit ke-37 kerana kesalahan berbahaya ke atas penyerang Lyon, Lisandro Lopez apabila beliau cuba mengasak pemain Argentina tersebut ketika merebut bola.

Para penyokong Bayern berang dengan tindakan Rosetti itu apatah lagi selepas Lopez dengan bingkas berdiri selepas pada mulanya tergolek-golek kesakitan di atas padang.

Rentak perlawanan menjadi perlahan selepas jurulatih Bayern, Louis van Gaal menyusun semula pasukannya dengan formasi yang lebih banyak menyerang ketika kedudukan 0-0 pada waktu rehat.

Selepas waktu rehat, pemain tengah defensif Bayern, Anatoliy Tymoshchuk menggantikan penyerang Ivica Olic, tetapi Lyon tidak lama kemudian bermain dengan hanya 10 pemain sahaja apabila pemain pertahanan Perancis, Toulalan seakan-akan membiarkan keadaan mengganggu emosi dirinya.

Selepas dengan cuai membiarkan kakinya menyangkut Robben, beliau menjatuhkan bintang sayap Belanda itu sehingga menyebabkannya dilayangkan kad kuning pada minit ke-51.

Kemudian hanya tiga minit kemudian, beliau menerajang kaki Bastian Schweinsteiger ketika merebut bola dan Rosetti sudah pun mencari kad merahnya sebelum Schweinsteiger terjatuh di atas padang pada minit ke-54.

Jurulatih Lyon, Claude Puel segera memasukkan pemain tengah Cameroon, Jean Makoun bagi menggantikan Miralem Pjanic, manakala van Gaal memasukkan penyerang Jerman, Mario Gomez bagi menggantikan pemain tengah Danijel Pranjic pada minit ke-63.

Gomez yang sudah berusaha untuk mendapatkan keyakinan sejak berpindah dari Stuttgart lebih 18 bulan lalu, mensia-siakan peluang keemasan yang dicipta oleh Robben namun tekanan akhirnya terlerai jua buat Bayern.

Robben melakukan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-69 dan bola melantun dari belakang Mueller untuk menewaskan penjaga gol Lyon, Hugo Lloris.

Walaupun kelab Perancis itu bermain bersungguh-sungguh, Bayern terus menguasai perlawanan dan akan membawa kelebihan tipis ke Lyon untuk perlawanan kedua pada 27 April ini.

Puel menegaskan bahawa pertandingan masih belum berakhir namun terkilan kerana anak-anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan dari segi jumlah pemain untuk menguasai perlawanan.

“Apapun, kami mempunyai banyak sebab untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan timbal balik nanti.” — AFP