Pendidikan peranan semua pihak

0

Matlamat pendidikan tidak mampu dijayakan bersendirian: Julaihi

KUCHING: Matlamat pendidikan tidak mampu dijayakan secara bersendirian tanpa sokongan daripada pelbagai pihak.Pengarah Pelajaran Negeri Datu Dr Julaihi Bujang berkata ia melibatkan dan memerlukan komitmen semua pihak berkepentingan.

“Kejayaan sistem pendidikan sebagai perkhidmatan kepada masyarakat akan dinilai berdasarkan keupayaannya untuk dinikmati oleh kumpulan sasaran dan seterusnya untuk meningkatkan taraf kehidupan.

“Matlamat yang ingin dicapai oleh kementerian melalui dasar ini adalah untuk menjadikan peranan mendidik anak bangsa sebagai tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan program bercerita kisah al-Quran dan syarahan peringkat negeri, di sini, semalam.

Julaihi berkata, walaupun tiada mekanisme spesifik digariskan untuk menggembleng tenaga dan usaha daripada semua pihak, kementerian sentiasa bersikap terbuka terhadap cadangan dan saranan dikemukakan oleh pihak luar.

Kementerian juga, katanya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai kementerian, badan korporat, syarikat swasta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kesatuan-kesatuan guru, Alumni dan pertubuhan pendidikan pada peringkat antarabangsa.

“Saya juga menyeru kepada guru-guru agar sentiasa memberikan komitmen yang tinggi serta ikhlas dalam pendidikan anak-anak pelajar ke arah memartabatkan profesion keguruan di samping menghasilkan pendidikan berkualiti dalam ruang sedia ada dalam usaha merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” katanya.

Sementara itu, Julaihi berkata pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti.

Menurutnya, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi agar dapat meningkatkan bina upaya generasi muda ke arah melahirkan tenaga kerja terlatih dan berdaya saing dan mencukupi dengan keperluan negara pada 2020.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insane yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Modal insan yang dihasilkan perlu mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah,” katanya.