Sistem pendidikan perlu sentiasa diperbaharui

0

Ini kerana banyak perkara belum dimasukkan dalam sistem pendidikan yang sedia ada: Mahathir

SERI ISKANDAR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sistem pendidikan perlu diperbaharui dengan memasukkan elemen-elemen karakter bersama kebijaksanaan.Katanya pembaharuan berkenaan perlu dilakukan oleh mana-mana negara sekalipun kerana masih banyak perkara yang perlu dan telah tidak dimasukkan dalamsistem pendidikan yang sedia ada.

“Masih terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dengan efektif…ini bagimengelakkan lahirnya pelajar-pelajar yang mempunyai karakter tidak baik.

“Pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi dengan karakter yang tidakbaik membahayakan masyarakat…dia tidak boleh dianggap aset kepada kita,” katanya kepada pemberita  selepas menyampaikan syarahan bertajuk “Beyond Vision 2020” di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula sistem pendidikan negara bagi mengelak perkara itu berlaku.

Katanya, sukatan mata pelajaran turut memainkan peranan kerana ia perlu disesuaikan dengan masa dan keperluan pelajar.

“Setiap mata pelajaran itu perlu dikaji mengikut keperluan pelajar dan apakah yang ingin diketengahkan kepada mereka.

“Ia hendaklah memberikan ilmu pengetahuan bagi memastikan mereka bersedia menghadapi dunia luar selepas meninggalkan bangku sekolah,” tambah Dr Mahathir.

Lebih 2,000 termasuk mahasiswa, pelajar sekolah dan jemputan menghadiri syarahan berkenaan. — Bernama