Lebih banyak balai bomba dibina

0

Ia akan dibina di beberapa kawasan Parlimen Santubong untuk mengelak kelewatan tindakan bomba semasa berlaku kebakaran

KUCHING: Beberapa balai bomba akan dibina di beberapa kawasan strategik di Parlimen Santubong untuk mengelakkan kelewatan tindakan anggota bomba semasa kejadian kebakaran.Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau kini dalam proses mengumpul data di seluruh kawasan itu bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaannya.

“Saya telah berbincang dengan pihak kementerian berkaitan mengenai perkara ini, namun demikian saya hanya dapat mencadangkan perkara ini.

“Ini kerana pelan itu hanya ditentukan atau diluluskan oleh kerajaan negeri sementara sumber kewangan daripada kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Boyan di sini, semalam.

Menurut beliau cadangan itu akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan dan ia mengikut pelan yang bakal diluluskan oleh kerajaan negeri.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, pelan itu akan dikemukakan paling awal pada hujung bulan ini dan selewat-lewatnya pada hujung Mei depan.

“Saya akan kemukakan maklumat-maklumat berhubung cadangan balai bomba di kawasan Santubong dan pembinaannya nanti akan berlandaskan kajian kawasan yang sesuai.

“Saya berharap ia dapat diluluskan bagi mengelakkan kelewatan anggota bomba sampai ke tempat kejadian kerana saya dimaklumkan seperti di kampung ini (Kampung Boyan) balai bomba yang terdekat hanya di Padungan dan Tabuan,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan faktor lain yang juga mungkin menjadi punca kelewatan adalah kerana kepayahan untuk akses ke kawasan perkampungan khasnya kampung tradisi.

Wan Junaidi yang terdahulu menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Boyan berkata, beliau akan turut memohon kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) supaya membina Rumah Mesra Rakyat untuk mangsa kebakaran itu.

“Dengan harapan terbinannya rumah itu nanti ia akan menyelesaikan masalah pemilik warga emas ini dan keluarganya,” kata beliau.

Wan Junaidi melalui Pusat Khidmat Parlimen Santubong menyumbang wang tunai sebanyak RM1,500 kepada mangsa kebakaran yang membabitkan sebuah keluarga pada 15 April lalu yang berlaku sekitar jam 11 pagi di Kampung Boyan.

Selain sumbangan itu mangsa juga menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berupa cek bernilai RM1,300 serta makanan manakala Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dengan sumbangan bantuan berbentuk beras serta makanan.

Sebelum ini, keluarga mangsa iaitu pemilik rumah, Raesah Man yang berusia 84 tahun turut menerima sumbangan hasil kutipan penduduk kampung sebanyak RM910.

Hadir sama Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Perhubungan Awam BERNAS Roslan Othman, Pengurus Pentadbiran BERNAS Kamari Abdul Raup dan Penghulu Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) Abdul Kassim Abdul Wahid.