Wanita jumpa kad ATM orang lain didakwa keluarkan wang

0

PETALING JAYA: Gara-gara menjumpai dan menggunakan kad ATM milik orang lain, seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana membuat enam pengeluaran melalui mesin ATM berjumlah RM4,400 tanpa kebenaran pemiliknya, tahun lepas.Tertuduh, Peggy Liew, 30, pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah semalam atas enam pertuduhan mengeluarkan wang milik Lee Cheng Yee dari mesin ATM Bank Simpanan Nasional, Maybank dan Bank Islam di sekitar Petaling Jaya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Okt 2009 hingga 11 Okt 2009.

Liew didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Liew yang tidak diwakili peguam merayu agar wang jaminan itu dikurangkan kerana bapanya yang tidak bekerja, tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.

Majistret Ho Kwong Chin kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. — Bernama