Samarahan dijadikan bandar perubatan Sarawak: Taib

0

KUCHING: Bandar perubatan akan dibina di Samarahan untuk merancakkan pelanco-ngan perubatan di negeri ini.

LAMAN WEB RASMI: Taib melancarkan lawan web rasmi Kongres Ortodontik Asia Pasifik ke-9, (APOC) 2014, sambil disaksikan oleh Dr Noraini (kiri) dan Hanifah (kanan).

LAMAN WEB RASMI: Taib melancarkan lawan web rasmi Kongres Ortodontik Asia Pasifik ke-9, (APOC) 2014, sambil disaksikan oleh Dr Noraini (kiri) dan Hanifah (kanan).

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata bandar perubatan tersebut turut merangkumi pusat rawatan AIDS.

“Sarawak kini bakal mencapai kejayaan besar dalam menyumbang kepada dunia perubatan khususnya untuk rawatan AIDS.

“Ramai yang akan datang untuk mendapatkan rawatan dan kerajaan berharap akan menembusi pasaran ini bagi menjana pendapatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Gala, ‘Night Of A Thousand Smiles’ anjuran Persatuan Ortodontik Malaysia (MOA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam kelmarin.

Taib turut menyempurnakan pelancaran lawan web rasmi Kongres Ortodontik Asia Pasifik ke-9, (APOC) 2014 yang akan diadakan di bandar raya ini.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan juga perlu memastikan ia mempunyai kemudahan yang lengkap bagi mengatasi kesesakan yang dijangkakan berlaku.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukan kawasan yang sangat luas untuk terlibat dalam industri pelancongan perubatan.

“Sekarang, kita cuba melancarkannya dengan kerajaan persekutuan untuk membolehkan kita bergerak ke hadapan dan tidak terikat dengan pelbagai birokrasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin kerajaan persekutuan akan memberikan respon positif kepada permohonan tersebut yang sejajar dengan sasaran kerajaan persekutuan untuk menggalakkan industri pelancongan perubatan tempatan.

Namun katanya, dalam kerajaan aktif mempromosikan industri pelancongan perubatan, tidak dilupakan juga keperluan perkhidmatan dan rawatan perubatan kepada golongan yang memerlukan, khususnya golongan miskin.

Menyentuh mengenai ‘The Laila Taib Smile Of Hope Projek’, beliau berkata kerajaan negeri menyokong sepenuhnya projek tersebut bagi memastikan ia berjaya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah menyumbangkan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 untuk membantu projek tersebut mencapai objektifnya iaitu menyediakan rawatan ortodontik kepada kanak-kanak yang memerlukan.

MOA turut menerima pelbagai sumbangan yang berjumlah RM150,000, daripada Cahya Mata Sarawak Berhad dengan sumbangan bernilai RM50,000, Laila Taib Welfare Foundation bernilai RM50,000 dan sumbangan umum sebanyak RM50,000.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, Presiden MAO Dr Noraini Alwi dan penaung projek Datin Hanifah Taib-Alsree.