Cabaran skuad Piala Fed tamat

0

KUCHING: Malaysia gagal menyerlah dalam Kejohanan Tenis Remaja Kelayakan Piala Fed BNP Paribas Zon Asia Oceania apabila tewas di pangkuan Korea 0-2 pada saingan peringkat kumpulan di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini semalam.Pemain perseorangan kedua negara, Theiviya Selvarajoo terpaksa berhempas-pulas menyaingi kehebatan pemain Korea, Hyo Jung Yea sebelum kecundang dengan 0-6 dan 6-7 dalam pertarungan selama sejam dan 45 minit.

Pemain perseorangan pertama negara, Hyda Yazmin Mohd Yazip juga mudah tewas di tangan pemain Korea, Sora Lee 1-6 dan 1-6 tidak sampai satu jam.

Dengan kekalahan mudah itu, pasukan tuan rumah terpaksa mengucapkan ‘selamat tinggal’ lebih awal kepada kejohanan peringkat antarabangsa itu setelah gagal meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, Jepun terus mengorak langkah apabila menang mudah ke atas pasukan Kazakhstan 2-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan semalam. Pemainnya, Miho Kowase mudah mengatasi lawan Kamila Kerimbayena 6-3 dan 6-1 manakala rakan sepasukannya, Risa Ozaki pula membenam cabaran lawan, Darya Berezhnaya dengan 6-1 dan 7-5.

Dalam perlawanan lain, Australia gah melangkah ke pusingan kedua setelah menjinakkan Sri Lanka dengan kemenangan 2-0 menerusi Molly Polak dan Abbie Myers. Polak mudah menewaskan Nilushi Fernando 6-1 dan 6-0 dan Myers pula menumpaskan Thayakaran Shankari dengan 6-1 dan 7-6.

Uzbekistan turut membuktikan kehebatannya apabila menang mudah mengatasi China Taipei dengan 2-0 menerusi kemenangan Nigina Abduraimova dan Sabina Sharipova. Abduraimova menewaskan Chu-Chen Chueh dengan 6-1 dan 6-0 manakala Sharipova menumbangkan Chu-Zhen Ruan dengan 6-0 dan 6-1.

Jiran Malaysia iaitu Singapura juga gagal menyerlah pada kejohanan ini apabila kecundang di tangan New Zealand 0-3. Pemain perseorangan pertamanya, Inez Songadiwardhana tumpas di tangan Emily Fanning dengan 0-6 dan 0-6 manakala Si Ying Keong pula kecundang di tangan Leela Beattie dengan 0-6 dan 1-6.

Singapura turut tewas dalam acara beregu apabila  Eng Zeng Rui dan Inez mudah dikalahkan oleh Leela Beattie dan Monica Chen 0-6 dan 2-6.

Aksi peringkat kedua bakal bermula hari ini (Rabu).