Sarawak tambat tiga pemain baru

0

KUCHING: Sarawak menambat tiga pemain baru termasuk bekas pemainnya, Shahrizan Sahari, 30, yang bakal memantapkan cabaran skuad negeri untuk mengharungi pusingan kedua kancah Liga Perdana musim ini.Pengurus dan ketua jurulatih Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad berkata ketiga-tiga pemain itu didaftarkan dalam skuad Sarawak minggu ini dan berpeluang beraksi dalam beberapa baki perlawanan pusingan kedua ini.

Selain Shahrizan, Sarawak juga bakal diperkuatkan oleh pemain muda Sabah, Rozaimi Abdul Rahman, 18, dan seorang guru dari Semenanjung Malaysia yang bertugas di sini dan pernah menyarung jersi Felda United musim lalu, Nurfaizal Patrick Abdullah.

“Kita amat berpuas hati dengan kelibat ketiga-tiga pemain terbabit dalam beberapa sesi latihan yang mereka lalui dan saya yakin mereka mampu beraksi dengan baik bersama pasukan Sarawak nanti,” kata Mohd Zaki ketika dihubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Mohd Zaki, kehadiran ketiga-tiga pemain itu adalah bagi mengisi kekosongan pemain-pemain yang telah ditamatkan kontrak lebih awal kerana beraksi kurang memberangsangkan sepanjang pusingan awal Liga Perdana musim ini.

Kumpulan Pengurusan Bola Sepak Sarawak (FMG) Sdn Bhd dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengambil keputusan secara persetujuan bersama menamatkan kontrak dua pemain import tempatan iaitu Azralan Azmi dan Abdul Aziz Ismail.

Mohd Zaki memberitahu beberapa pemain telah dipanggil untuk menjalani ujian pemilihan dan pihak pengurusan pasukan bersetuju untuk menambat tiga pemain terbabit bagi meneruskan perjuangan Sarawak musim ini.

Shahrizan pernah beraksi bersama-sama pasukan Sarawak sebagai penyerang pada musim 2001, 2002 dan 2003 di bawah bimbingan jurulatih dan bekas pemain Sarawak, Abdul Jalil Ramli.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki oleh ketiga-tiga pemain terbabit, diharapkan dapat membantu dan memantapkan perjuangan pasukan dalam baki beberapa perlawanan pusingan kedua Liga Perdana musim ini,” katanya.

Sarawak setakat ini menduduki tangga keenam dalam carta Liga Perdana dengan mengumpul 18 mata hasil daripada lima kemenangan, tiga seri dan empat tewas setelah mengharungi 12 perlawanan.

Sarawak akan menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Paroi, Negeri Sembilan Isnin depan (3 Mei).