AAS sumbang 67 buku undang-undang kepada MBKS

0

KUCHING: Para pelajar dan orang awam yang berminat dengan undang-undang kini boleh membaca 67 buku hasil sumbangan Persatuan Peguam Sarawak (AAS) kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).Datuk Bandar MBKS James Chan menyatakan rasa gembiranya menerima buku rujukan terbabit yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Pihak majlis biasanya menyediakan sejumlah peruntukan untuk membeli buku bagi perpustakaan dan buku undang-undang sangat mahal.

“Sekarang pihak kami tidak perlu membelanjakan wang pembayar cukai dan wang berkenaan boleh digunakan untuk memperbaiki atau membaik pulih benda lain,” katanya ketika menerima sumbangan tersebut semalam.

Dalam pada itu, Presiden AAS Frank Tang berkata buku tersebut adalah terbitan terkini Sweet & Maxwell dan sangat bernilai.

“Terdapat pelbagai undangundang yang merangkumi jenayah, keluarga, kesihatan dan sebagainya mengikut cita rasa orang ramai,” tambah Tang.

Beliau berharap buku-buku tersebut akan digunakan sebaik mungkin oleh orang ramai kerana katanya, terdapat sesetengah daripada buku terbabit tidak dapat dimiliki oleh peguam.

Bagaimanapun, Chan berharap agar setiap ilmu yang diperoleh daripada buku berkenaan tidak disalah guna dan orang ramai boleh sentiasa merujuk pakar undang-undang daripada AAS.