Inter Milan di ambang pertahan kejuaraan

0

Roma melenting dengan gelagat penyokong Lazio bersorak rai kemenangan sang juara

ROM, Itali: AS Roma naik berang Ahad lepas selepas kemenangan 2-0 Inter Milan ke atas musuh tetangga mereka, Lazio mencerahkan lagi peluang skuad bimbingan Jose Mourinho itu untuk memenangi kejuaraan Serie A buat kelima berturut-turut.Malah kemenangan Inter itu turut disorak oleh para penyokong Lazio di Stadium Olimpik, hakikat betapa mereka lebih sukakan kekalahan berbanding membantu seteru mereka itu (Roma) merangkul kejuaraan liga.

“Saya tidak pernah terfikir yang saya akan melihat dengan mata saya sendiri apa yang berlaku malam ini,” kata pengarah AS Roma, Gian Paolo Montali yang mengkritik lagak para penyokong dan pemain Lazio.

“Saya percaya Inter dan jurulatih mereka sendiri malu. Saya percaya hari ini, ia bukan hanya Lazio yang tewas bahkan juga sukan, lebih-lebih lagi bola sepak kita.”

Inter menyusuli kemaraan mereka ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan dan dengan baki dua perlawanan sahaja lagi, mereka mengembalikan kelebihan dua mata mereka ke atas Roma, yang menang 2-1 di Parma Sabtu lepas, selain turut berada di atas landasan untuk memenangi tiga kejuaraan.

Mereka akan menentang Roma pada final Piala Itali malam esok (awal pagi Khamis waktu Malaysia) dan Bayern Munich di Madrid pada 22 Mei untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Inter menentang kelab-kelab kerdil dalam dua perlawanan liga terakhir mereka — Chievo (tempat ke-12) di tempat sendiri pada hujung minggu lepas sebelum bertandang ke kelab yang disingkirkan, Siena (tempat ke-19).

Roma turut menentang Chievo seminggu selepas menerima kunjungan kelab di tempat ke-14, Cagliari.

Namun Roma memiliki kelebihan kerana jika kedua-dua pasukan terikat mata pada akhir musim, kelab ibu kota itu akan menjadi juara kerana mereka memiliki rekod pertemuan yang lebih baik berbanding Inter. Keputusan seri 1-1 di Milan disusuli kemenangan 2-1 di tempat sendiri di Stadium Olimpik.

Ahad lepas, para penyokong Lazio yang berada dua tempat dari zon penyingkiran, bersorak apabila pemain pertahanan Argentina, Walter Samuel menanduk masuk gol pertama sejurus sebelum waktu rehat hasil hantaran silang Wesley Sneijder.

Inter Milan yang baru sahaja menyingkirkan juara bertahan Barcelona dari Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu lepas, meningkatkan lagi tekanan, tetapi mendapati penjaga gol Lazio, Fernando Muslera bermain dengan cemerlang.

Muslera menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada Maicon, Thiago Motta, Sneijder dan Samuel Eto’o pada separuh masa pertama.

Namun tentangan pasukan tuan rumah berkubur pada minit ke-70 apabila Motta menjaringkan gol dari tendangan sudut Maicon.

Selepas wisel penamat ditiup, para penyokong Lazio sendiri, yang turut membentangkan sepanduk memuji Mourinho, meraikan kemenangan Inter.

“Kami bermotivasi,” kata penolong jurulatih Lazio, Giovanni Lopez. “Namun suasana begitu pelik di stadium. Ia tidak memihak kepada kami dan tidak membantu.

“Selepas gol pertama mereka masuk, kami tidak dapat berbuat apa-apa lagi.”

Pengarah sukan Inter Milan, Marco Branca berkata: “Ikatan di antara Inter dan penyokong Lazio sudah bertahun-tahun terjalin.

“Namun saya menegaskan pada akhir perlawanan, pemain-pemain kami begitu keletihan kerana mereka berjuang untuk mencapai kemenangan.”

Terdahulu Sampdoria dan Palermo masih bertarung untuk tempat keempat dan kedudukan kelayakan terakhir dalam Liga Juara-Juara selepas kedua-dua pasukan mencatatkan kemenangan.

Sampdoria, yang mendahului Palermo dengan dua mata, terpaksa bekerja keras mencapai kemenangan 2-0 di tempat sendiri dalam perlawanan menentang kelab tercorot dan sudah disingkirkan ke liga bawahan, Livorno manakala Palermo terpaksa kental bertahan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Siena.

Antonio Cassano menjaringkan gol tunggal perlawanan selepas hanya lima minit perlawanan dengan melepasi barisan pertahanan dan menewaskan penjaga gol Alfonso De Lucia.

Cassano sepatutnya memberi ruang untuk bernafas kepada Sampdoria enam minit sebelum waktu rehat tetapi entah kenapa merembat bola yang tersasar biarpun berada pada kedudukan yang cukup baik.

Cassano menikmati hari indah di atas padang dan dua kali mencipta peluang bagi Giampaolo Pazzini tetapi beliau tidak dapat menyempurnakannya.

Namun demikian enam minit sebelum tamat perlawanan, pemain pertahanan Switzerland, Reto Ziegler merembat masuk tendangan percuma untuk menenangkan keresahan Sampdoria.

Mereka kekal di tempat keempat, empat mata di belakang AC Milan.

Siena menyertai Livorno dalam Serie B pada musim depan selepas penyingkiran mereka ke liga bawahan disahkan oleh kekalahan kepada Palermo.

Penyerang Uruguay, Edison Cavani meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-24 selepas berjaya menyempurnakan hantaran silang daripada Antonio Nocerino.

Apabila Fabrizio Miccoli menambah gol kedua sejurus sebelum sejam perlawanan berlangsung, perlawanan seakan-akan sudah berakhir tetapi 10 minit sebelum masa penamat, Emanuele Calaio menanduk masuk hantaran silang menerusi bekas penyerang Middlesbrough, Massimo Maccarone untuk menamatkan perlawanan tegang.

Dalam perlawanan lain, Napoli dan Juventus memastikan tempat bagi diri mereka dalam Liga Europa pada musim akan datang.

Napoli menang 2-1 ke atas Chievo di tempat lawan berkat gol-gol daripada dua pemain dari Argentina, German Dennis dan Ezequiel Lavezzi, yang dipisahkan oleh satu jaringan Pablo Granoche.

Juventus turun ke tempat ketujuh, semata di belakang Napoli, tetapi memenangi tempat mereka dengan keputusan seri 1-1 di Catania disebabkan oleh kekalahan 0-3 Genoa di Bari.

Bologna mencerahkan harapan mereka untuk terus bermain dalam liga utama apabila bangkit untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Atalanta yang bermain dengan 10 pemain. — AFP