Wanita menafi tuduhan miliki pistol dan 411.8 gram Methampetamine

0

KUCHING: Seorang penganggur wanita berusia 33 tahun yang didakwa atas tuduhan memiliki pistol dan 411.8 gram Methampetamine di Mahkamah Majistret di sini semalam menafikan tuduhan tersebut.Sylvia Ang Pei Hung, dari Skim Penempatan Semula Stampin, Muara Tabuan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pistol jenis Revolver dan peluru 13.22 inci bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 33 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia menafikan tuduhan memiliki dadah berbahaya di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Untuk pertuduhan memiliki senjata api, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 manakala bagi pertuduhan memiliki dadah, dia boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sylvia dikatakan melakukan kesalahan itu sekitar jam 10.15 pagi pada 19 April lepas di rumahnya.

Berdasarkan fakta kes, apabila pihak polis mengadakan serbuan di rumah tersebut dan menyoal siasat Sylvia, dia memberitahu bahawa dia menyimpan barang-barang itu (pistol dan dadah) kerana disuruh oleh seseorang bernama Ah Seng.

Dia tidak mengulas lanjut barang-barang tersebut ketika di soal siasat.

Dia kemudian memberitahu tempat barang tersebut disimpan iaitu berdekatan pokok pisang.

Pihak polis menggali tanah di kawasan itu dan menjumpai plastik lutsinar yang mengandungi beg.

Beg tersebut dikatakan mengandungi pistol dan 13 peluru.

Mereka turut menjumpai dadah ditanam dekat rumah tertuduh di mana tertuduh ditahan.

Pihak polis menjumpai tiga lapis beg plastik mengandungi syabu seberat 103.3 gram dan juga syabu seberat 308.5 gram di dalam tin susu yang disaluti surat khabar.

Pihak pendakwa memohon supaya kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tertuduh diletakkan di balai polis sementara menunggu tarikh sebutan kes itu yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

Kes itu dibicarakan dan didengar di hadapan Majistret Syafiza Abdul Razak Tready manakala DPP Azizah Hassan bertindak sebagai pendakwa raya dan tertuduh diwakili peguam bela Lim Lian Kee.