Kerani dibebas daripada tuduhan merogol gadis

0

KUCHING: Seorang kerani berusia 36 tahun yang didakwa atas tuduhan merogol gadis bawah umur, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.Hakim Mahkamah Sesyen, Nixon Kennedy Kumbong mengeluarkan perintah itu selepas mangsa menarik balik kes itu terhadap tertuduh.

Douglas Kimbau dilepaskan setelah Hakim Nixon membenarkan permohonan pengadu yang juga mangsa untuk menarik balik kes tersebut semasa perbicaraan.

Pengadu memberitahu kepada mahkamah bahawa dia tetap dengan keputusan untuk menarik balik kes itu apabila mahkamah memberitahu kepadanya bahawa dia tidak boleh mendakwa semula tertuduh yang sama pada masa akan datang.

Kimbau dituduh melakukan kesalahan itu sekitar jam 2.10 pagi dan 7.30 pagi pada 21 Julai tahun lepas di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Hui Sing.

Pengadu dikatakan balik dari tempat kerja dan meminta tertuduh menghantarnya pulang ke rumahnya.

Tertuduh bagaimanapun membawa pengadu ke sebuah rumah di Taman Hui Sing, di mana kejadian rogol itu dikatakan berlaku.

Tertuduh diwakili peguam bela Lim Lian Kee, manakala Izwa Tonie bertindak sebagai pendakwa kes.