Tuesday, March 19

Sarawak ‘tawan’ Polis di Paroi

0

MELAKA: Sarawak membuktikan kewibawaan mereka apabila ‘menawan’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Perdana dengan kemenangan tipis 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan malam kelmarin (Isnin).Kemenangan itu telah melonjakkan kedudukan Sarawak ke tangga keenam dalam persada Liga Perdana dengan memunggut 21 mata setakat ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad berkata kejayaan anak-anak buahnya menumpaskan Polis di arena lawan membuktikan bahawa semangat juang mereka tetap kental.

“Kita berjaya membawa pulang tiga mata penuh setelah membenam Polis di gelanggang lawan dan kemenangan itu sudah pasti terus memberi keyakinan kepada pasukan kita beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Menurut Mohd Zaki, anak-anak buahnya beraksi dengan baik seawall perlawanan dengan melakukan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan.

Hasil serangan bertali arus itu, Sarawak telah berjaya mendahului pasukan tuan rumah dengan gol pertama yang dijaringkan oleh ketua pasukannya, Mohd Fadly Kassim pada minit ke-27 babak pertama.

Jaringan itu ternyata memberi keyakinan kepada skuad bimbingan Mohd Zaki untuk terus melakukan serangan demi serangan ke atas kubu Polis meskipun mereka menerima tentangan sengit dek serangan balas lawan.

Berakhir separuh masa pertama kedudukan memihak kepada pasukan pelawat, Sarawak dengan 1-0 sehingga babak kedua dimulakan oleh pengadil perlawanan.

Babak kedua, bagaimanapun Sarawak dikejutkan oleh jaringan gol penyamaan oleh pemain penyerang pasukan Polis sekali gus memberi tekanan kepada Sarawak.

Hampir 20 minit babak kedua perlawanan berlangsung, kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati untuk membolosi gawang lawan masing-msing.

Namun demikian, Sarawak amat bernasib baik setelah pemain sayap kiri Mohd Dzulazlan Ibrahim yang menerima umpanan cantik daripada rakannya terus meledakkan rembatan tepat ke sasaran untuk gol kedua pasukan Sarawak pada minit ke-71, sekali gus memastikan kemenangan buat pasukan pelawat.

Sarawak akan meneruskan perjuangan mereka dalam kancah Liga Perdana dengan menanti kunjungan pendahulu liga, KL Felda United FC di gelanggang sendiri, Stadium Sarawak Petra Jaya pada malam Jumaat ini (7 Mei).