Jangan kategorikan pembangunan Orang Asli subsektor kecil: Sultan Perak

0

SUNGAI SIPUT: Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah pembangunan masyarakat Orang Asli perlu mendapat keutamaan dalam program pembangunan negara dan tidak dikategorikan sebagai satu subsektor kecil serta seolah-olah ia adalah satu program picisan.Baginda bertitah peruntukan kewangan yang lebih besar dengan bilangan kakitangan yang lebih ramai perlu disediakan supaya masyarakat Orang Asli dapat dibangunkan pada kadar yang lebih pesat supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi pemodenan hidup dunia semasa.

“Masyarakat Orang Asli jika masih kekal dalam kepompong hidup yang primitif akan mencemarkan imej negara di kaca mata antarabangsa apabila negara telah mencapai status negara maju.

“Bagaimanakah nanti tanggapan dunia terhadap negara yang dikatakan telah mencapai status negara maju jika sebilangan warganya masih terlalu jauh ketinggalan dalam arus pesat pembangunan dunia moden,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Transit Kesihatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Daerah Kuala Kangsar di sini kelmarin.

Seramai 54,416 Orang Asli terdapat di Perak dan bilangan itu merupakan 38.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Orang Asli di negara ini, dengan jumlah itu ia meletakkan Perak sebagai negeri kedua yang mempunyai bilangan Orang Asli teramai di Malaysia, titah baginda.

Baginda bertitah fahaman yang mendalam terhadap landasan pemikiran dan input daripada masyarakat Orang Asli adalah penting dalam apa jua program yang dirancang.

Sultan Azlan bertitah usaha dan tanggungjawab membangunkan masyarakat Orang Asli jangan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata.

Baginda mengingatkan sektor swasta terutama yang menjalankan aktiviti ekonomi berhampiran atau dalam persekitaran penempatan Orang Asli supaya menjadikan program membangunkan masyarakat Orang Asli sebagai satu tanggungjawab sosial korporat.

Titah baginda warga Orang Asli yang telah berjaya dalam pelbagai bidang dan profesion wajib melibatkan diri secara aktif untuk membantu membangunkan masyarakat itu.

“Mereka hendaklah tampil ke hadapan, berperanan sebagai model peranan, sebagai pemangkin, memberikan inspirasi kepada anak-anak Orang Asli agar potensi lebih ramai anak Orang Asli dapat dibangunkan,” titah baginda.

Baginda bertitah anak-anak Orang Asli perlu disemai dengan keyakinan diri hingga mereka berani keluar daripada alam persekitaran hidup sekarang untuk mencipta kejayaan yang lebih besar.

“Dalam semangat mahu membantu membina keyakinan diri mereka (Orang Asli) supaya lebih bersedia menghadapi budaya hidup moden, badan sukarela, badan amal, badan kebajikan, pertubuhan pendidikan dan sukan hendaklah turut menganjurkan program yang melibatkan penyertaan aktif masyarakat Orang Asli,” titah baginda.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pusat transit berkenaan adalah sebahagian daripada program pembangunan minda masyarakat Orang Asli termasuk pendidikan kesihatan yang tersusun dijalankan bagi meningkatkan tahap kesedaran penjagaan kesihatan mereka.

“Kementerian ini sudah mempunyai lima pusat transit iaitu di Gerik (Perak), Kuala Betis (Gua Musang, Kelantan), Betau (Kuala Lipis, Pahang) dan Sungai Ruil (Cameron Highlands, Pahang). Malah kita juga mempunyai sebuah hospital Orang Asli di Gombak,” katanya.

Beliau berkata Kompleks Pentadbiran dan Transit Kesihatan Daerah Kuala Kangsar di kawasan seluas 2.5 hektar di sini yang dilengkapi klinik pergigian, dapur, ruang tamu, dewan makan, suarau dan mempunyai kapasiti 150 katil untuk kemudahan pesakit dan pengiring itu telah mula dibina pada 2007 dan siap sepenuhnya pada penghujung 2008. — Bernama