100 jurugambar menyertai pertandingan gambar terbaik finalis Miss Fair & Lovely

0

SANTUBONG: Hampir 100 jurugambar semalam menyertai pertandingan gambar terbaik bagi 14 finalis Miss Fair & Lovely World Harvest Festival (WHF) 2010.Pertandingan yang diadakan di Rumah Orang Ulu di Kampung Budaya Sarawak (SCV) itu terbuka kepada semua jurugambar dengan bayaran masuk RM10 sahaja.

Kesemua peserta dikehendaki menghantar gambar yang telah diambil pada Jumaat ini yang akan dinilai oleh tiga juri yang terdiri daripada wakil Kelab Foto Kenyalang, Anjung Bridal Studio dan Persatuan Jurugambar Sarawak.

Pemenang pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua RM400 dan ketiga RM300 serta sijil masing-masing.

Dalam pertandingan itu jurugambar dikehendaki mengambil gambar 14 finalis Miss Fair & Lovely WHF  yang juga merupakan pertandingan bagi gelaran Miss Fotogenik WHF 2010 bagi finalis.

Keputusan pertandingan gambar terbaik dan Miss Fotogenik itu akan diumumkan pada 29 Mei 2010 sempena Pertandingan Akhir Miss Fair & Lovely WHF nanti.

Sementara bagi peserta Miss Fair & Lovely yang memenangi gelaran Miss Fotogenik, pemenangnya bakal membawa pulang wang tunai RM700, selempang, potrait gambar bersaiz 16R dan portfolio album pemenang.

Pertandingan Miss Fotogenik berkenaan merupakan anjuran bersama Anggun Bridal Studio dan Kelab Foto Kenyalang dengan penaja utama Miss Fair & Lovely 2010 Unilever (M) Holdings Sdn Bhd.

Tahun ini, WHF akan diadakan di SCV pada 29 dan 30 Mei.

Antara aktiviti yang digariskan pada hari berkenaan selain pertandingan akhir Miss Fair & Lovely adalah pementasan drama muzikal legenda Orang Ulu iaitu “Batang Arong And The Sky Goddess: When Love Hunts For Magic” , Konsert Budaya Antarabangsa dari Thailand dengan bengkel interaktif mengenai muzik dan tarian, pertandingan akhir Iron Man WHF 2010, Festival Makanan Dayak dan banyak lagi.

Tiket dijual dengan harga RM60 bagi setiap dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun.

Bagi mereka yang membeli tiket sebelum 29 Mei, tiket dijual pada harga RM25 bagi setiap dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi kakitangan SCV  Arnida atau Grace di talian 082-846108 atau 082-846816.