Dua buruh di penjara lima tahun kerana merompak

0

KUCHING: Dua buruh dikenakan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan selepas mereka didapati bersalah atas tuduhan rompakan berkumpulan.Hakim Amelati Parnell menggariskan bahawa pihak pendakwa dapat membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Bitri Arip, 24, dan Mohammad Nazaruddin Hasbi, 23, kedua-duanya dari Kampung Astana didapati bersalah atas tuduhan meragut seorang wanita sekitar jam 12.30 tengah malam pada 3 Februari lepas ketika mangsa bersama teman lelakinya melawat Muzium Sarawak di sini.

Berdasarkan fakta kes itu, kejadian itu berlaku di muzium ketika mangsa dan temannya didekati kedua-dua tertuduh dan dua lagi rakan mereka yang masih bebas.

Mereka kemudiannya meragut telefon bimbit mangsa serta memukul teman lelaki mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Bagaimanapun, dibantu dua orang awam yang menyaksikan kejadian itu, mereka berjaya mengejar Bitri dan Mohammad dan kemudian membawa mereka ke Balai Polis Satok untuk membuat laporan dan tindakan lanjut.

Mereka dituduh melakukan rompakan berkumpulan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela manakala DPP Stella Paul bertindak sebagai pendakwa raya kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, seorang lelaki yang didakwa membawa belantan semasa satu demonstrasi telah dibicarakan di sini semalam.

More Abdullah dari Batu Kawa dan 13 lagi yang masih bebas dikatakan terlibat dalam satu demonstrasi di Batu 4, Jalan Penrissen sekitar jam 9.15 malam pada 13 Mac lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

More dihakimi di hadapan Majistret Maris Agan yang menetapkan 18 dan 20 Oktober akan datang bagi mendengar perbicaraan dan 11 Oktober untuk pengurusan praperbicaraan kes itu.

More diwakili peguam bela Fung Lee Fook manakala Cif Inspektor Teo Teik Soon bertindak sebagai pendakwa raya.