Malaysia perlu muka baru

0

Sampai bila badminton terus bergantung kepada pemain veteran?

KUALA LUMPUR: Selepas penantian selama 18 tahun pasukan negara gagal menghadiahkan Piala Thomas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu berani mengorak langkah drastik dengan menonjolkan pemain muda bagi menggantikan barisan yang ada sekarang.Sampai bilakah Malaysia mahu terus bergantung dengan Datuk Lee Chong Wei yang kini berusia 28 tahun, Wong Choong Hann (33) dan Muhd Hafiz Hashim (28)?

Kecuali Choong Hann yang menyatakan edisi Piala Thomas tahun 2010 ini merupakan pe-nampilan terakhirnya dalam kejohanan berprestij itu, adakah Malaysia mahu terus bergantung kepada Chong Wei dan Muhd Hafiz, yang masing-masing akan berusia 30 tahun, dalam edisi dua tahun lagi?

Pemilihan Choong Hann yang membuat kemunculan keenam dalam kejohanan berprestij ini memberikan petanda Malaysia ketandusan pemain perseorangan berkaliber yang mampu memberikan saingan peringkat tinggi.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengakui tentang barisan pemain negara, terutama acara perseorangan, yang semakin dimamah usia.

“Kena bangunkan pemain muda. Tiada pilihan, kena naikkan barisan pelapis secepat mungkin bagi mengisi barisan utama Malaysia,” katanya.

Malah Choong Hann sendiri mahukan barisan pemain baru terutama pemain perseorangan negara berwajah baru dan tidak lagi terlalu bergantung kepada ‘kuda tua’.

Malaysia sebenanya tidak ketandusan bakat baru pemain yang mampu bersinar di peringkat antarabangsa, sekali gus mengambil alih tempat pemain sekarang.

Loh Wei Sheng, Zulfadli Zulkifli, Mohd Syawal Ismail, Misbun Ramdhan Misbun, Liew Darren, Chong Wei Feng, Mohd Arif Latiff adalah antara barisan ‘stok baru’ pemain perseorangan yang perlu digilap.

Bagi beregu pula, antara yang paling menyerlah ialah gandingan Ow Yao Han dan Yew Hong Kheng yang dinobatkan selaku juara badminton Remaja Dunia di Guadalajara, Mexico pada April.

Menariknya, hampir ke-semua mereka kini berusia 18 tahun. — Bernama