Perancang kewangan tidak perlu bimbang

0

KUCHING: Perancang kewangan dan golongan professional berkaitan kini tidak lagi perlu bimbang mengenai perbelanjaan perjalanan mereka ke bandar raya ini demi menghadiri seminar dan kursus yang dianjurkan.Ini kerana mulai tahun depan, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) Cawangan Sarawak bakal menganjurkan seminar dan kursus seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melangkaui kawasan Kuching.

Pengerusi PFAM Sarawak Wee Hun Been berkata ini kerana antara cabaran hebat yang sering dialami adalah menyelesaikan masalah logistik bagi membolehkan semua peserta dapat datang ke Kuching.

Justeru kata beliau jawatankuasa utama PFAM Sarawak telah bersetuju mengadakan tiga aktiviti di setiap Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bermula pada tahun depan supaya lebih ramai peserta dapat menghadirinya.

Wee menegaskan aktiviti sedemikian diadakan supaya perancang kewangan dapat memenuhi tuntutan masa minimum bagi pendidikan profesional berterusan (CPE) untuk membaharui lesen serta menaik taraf diri supaya tidak menjadi ‘tumpul’.

“Di Sarawak, logistik sentiasa menjadi cabaran. Tidak seperti di Semenanjung Malaysia di mana perjalanan tidak menjadi masalah sementara di Sarawak ahli-ahli bimbang mengenai penerbangan, kemudahan dan perbelanjaan lain apabila mereka ke Kuching sekiranya mereka berasal dari tempat lain.

“Aktiviti seperti kursus dan seminar bukan sahaja untuk tuntutan masa minimum CPE. Malah kita telah menganjurkan seminar mengenai kemahiran berkomunikasi seperti bahasa Inggeris yang teknikal berkaitan dengan kewangan dalam usaha melahirkan sumber manusia berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, FPAM Sarawak ditubuhkan pada Disember tahun lalu iaitu 10 tahun selepas penubuhan badan utama kebangsaan.