Esplanade Telaga Air jadi pusat ekopelancongan

0

KUCHING: Esplanade Telaga Air sepanjang 500 meter akan dijadikan pusat ekopelancongan pada masa akan datang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

PERIKSA: Dr Abdul Rahman ditemani isterinya menerima pemeriksaan kesihatan percuma daripada pegawai kesihatan selepas merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin.

PERIKSA: Dr Abdul Rahman ditemani isterinya menerima pemeriksaan kesihatan percuma daripada pegawai kesihatan selepas merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin.

Esplanade Telaga Air menelan belanja RM9.2j telah dibina sejak September 2008 hampir siap sepenuhnya

“Dengan terbinanya Esplanade Telaga Air ini maka terbuka peluang untuk kita menjadikan Telaga Air sebuah pusat ekopelancongan.

“Buat masa sekarang kita sedang merancang merealisasikan hasrat ini bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin di Esplanade Telaga Air semalam.

Dr Abdul Rahman berkata buat masa ini aktiviti serta program berkaitan dengan ekopelancongan mendapat sambutan yang baik daripada agensi-agensi swasta.

Menurut beliau perkara tersebut akan disampaikan kepada pihak kerajaan terutama Kementerian Pelancongan dan lembaga pelancongan negeri bagi turut serta dalam menjadikan Telaga Air sebagai pusat ekopelancongan.

Beliau berkata Esplanade Telaga Air yang menelan belanja RM9.2 juta di bawah

Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) telah dibina sejak September 2008 dan hampir siap sepenuhnya. Selain itu katanya tambahan RM2 juta adalah untuk membina perpustakaan dan pasar basah bagi keperluan nelayan-nelayan di Telaga Air.

“Apa yang menarik di sini adalah prasarana semula jadi seperti laut yang jernih serta pulau-pulau yang boleh menjadi daya tarikan para pelancong untuk datang.

“Selain itu di sini juga terdapat kawasan bakau yang diiktiraf sebagai Taman Negara Tanah Bencah,” tambah beliau.

Dr Abdul Rahman berkata dengan kesempatan tersebut, masyarakat di kawasan Telaga Air berpeluang untuk meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga dan kampung mereka.

“Di samping menjadikan kawasan ini sebagai pusat ekopelancongan, masyarakat juga berpeluang meningkatkan pendapatan mereka dengan menjalankan aktiviti berniaga di tebingan ini.

“Selain itu mereka juga boleh menyertai program homestay (inap desa) bagi menyediakan kemudahan penginapan kepada para pelancong,” kata beliau. Menurutnya setakat ini enam inap desa telah didaftarkan.