200 pendatang asing cuba merusuh di depot tahanan

0

HULU TERENGGANU: Hampir 200 warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, di sini, cuba merusuh dan meloloskan diri dari pusat tahanan itu dalam kejadian bermula jam 9.30 malam kelmarin.

Tindakan agresif dipercayai dua dari kumpulan rakyat Vietnam dan Myanmar yang bergaduh sesama sendiri itu bagaimanapun dapat dihalang pihak berkuasa.

Pengarah Imigresen Terengganu, Mahasan Mustapa berkata kejadian dipercayai bermula daripada pergaduhan dua pendatang asing tanpa izin Vietnam yang baru dimasukkan ke pusat itu.

“Pergaduhan bagaimanapun merebak kepada hampir 200 tahanan di blok lain. Mereka cuba memecahkan pintu dan ada daripadanya mengambil peluang untuk melarikan diri daripada depot berkenaan namun cubaan mereka gagal.

“Dalam kejadian itu, satu pintu blok dipecahkan bagaimanapun mereka tidak dapat melepasi dua lagi pintu dan gril di situ,” katanya kepada pemberita, semalam.

Katanya keadaan dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 12 malam kelmarin dengan bantuan pihak polis.

Katanya kes itu dirujuk kepada Kedutaan Vietnam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kirakira lapan pendatang asing Vietnam cedera ringan dalam kejadian itu, dipercayai daripada tindakan ganas mereka memecahkan pintu itu.

Dalam kejadian itu sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang turut dihantar ke depot berkenaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penghuni cuba membakar pusat itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata panggilan diterima kira-kira jam 10.15 malam dan anggotanya hanya pulang jam 3 pagi setelah keadaan benar-benar terkawal.

Sementara itu, seorang saksi, Aminuddin Deraman, 50, yang berniaga buah berhampiran depot tahanan itu berkata beliau mendengar bunyi bising kira-kira jam 9 malam.

“Bunyinya kuat dengan hiruk-pikuk dari arah dalamnya, tidak lama kemudian saya nampak polis dating dan hampir tengah malam keadaan kembali tenang,” katanya. — Bernama