Misi akhiri penantian 16 tahun

0

KOTA SAMARAHAN: Misi kontinjen Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka yang bakal membuka tirainya pada 10 hingga 19 Jun ini adalah untuk bergelar juara mutlak.

Inilah hasrat dan tekad yang dilaungkan oleh Ketua Kontinjen merangkap Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin serta para atlet Sukma Sarawak yang bakal berjuang di Melaka, bermula Khamis ini.

“Misi utama kita ke Sukma XIII Melaka adalah merampas kembali gelaran juara setelah terlepas dari genggaman kita sejak 16 tahun lalu,” demikian kata beliau ketika berucap pada jamuan malam meraikan para atlet, jurulatih, pengurus dan pegawai- pegawai sukan di Kem Kontinjen Sukma Sarawak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam kelmarin (Sabtu).

Menurut Lee, dengan semangat dan tekad yang tinggi, beliau yakin atlet-atlet Sukma Sarawak kali ini mampu membawa balik kejayaan yang gemilang untuk rakyat negeri ini.

Beliau berkata semua atlet telah pun bersiap sedia untuk mengibarkan cabaran masing- masing pada Sukma di Melaka kali ini setelah menjalani latihan dengan bersungguh- sungguh dan begitu gigih sejak dua tahun lalu.

“Setelah kempunan dalam tujuh temasya Sukma yang lalu, kita berharap Sukma ke-13 di Melaka nanti akan memberi sinar baru buat kontinjen negeri mengembalikan kegemilangan sukan di negara ini,” katanya.

Hadir sama Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Pengarah Operasi Sukma XIII, Francis Nyurang Ding serta penolong-penolong Ketua Kontinjen dan pegawai-pegawai kejohanan.

Sarawak pernah menjulang kejuaraan Sukma secara hatrik (tiga kali berturut-turut) iaitu pada Sukma III di Kuching (1990), Sukma IV di Perak (1992) dan Sukma V di Johor pada 1994.

Lee berkata pengalaman menjuarai Sukma sebanyak tiga kali itu perlu dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh para atlet meskipunmenyedari mereka bakal bersaing hebat dengan kontinjen- kontinjen lain seperti Selangor, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Perak, Sabah termasuk tuan rumah (Melaka).

“Untuk merealisasikan impian kita bergelar juara, para atlet harus membuktikan kewibawaan masing-masingdengan meraih seberapa banyak pingat emas dan lainlain pingat sepanjang temasya Sukma nanti,” katanya sambil berharap semua atlet mematuhi segala disiplin, tahap kecergasan serta kesihatan yang baik.

BAKAR SEMANGAT: Lee memberikan kata-kata semangat kepada sebahagian daripada atlet.

BAKAR SEMANGAT: Lee memberikan kata-kata semangat kepada sebahagian daripada atlet.

Beliau menarik perhatian penambahan imbuhan (insentif) iaitu sejumlah RM2,000 untuk setiap pingat emas adalah pembakar semangat juang tinggi buat para atlet Sukma Sarawak menggapai kejayaan cemerlang.

“Saya percaya dengan penambahan insentif kepada para atlet yang memenangi pingat emas mampu menjadi satu suntikan semangat baru buat para atlet kita yang bakal mengibarkan cabaran mereka pada Sukma kali ini,” katanya.