Tiga lelaki rompak mata wang asing bernilai RM120,000

0

KUALA LUMPUR: Satu kumpulan dipercayai dianggotai tiga lelaki merompak pelbagai mata wang asing bernilai RM120,000 setelah memecah masuk sebuah premis pengurup wang di USJ Taipan 28 awal semalam.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 3 pagi, perompak terbabit turut memotong wayar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melarikan ‘mother board’ komputer yang disambung kepada CCTV itu supaya kegiatan mereka tidak dapat dikesan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin berkata kumpulan itu dipercayai memecah masuk premis tersebut melalui pintu belakang premis bersebelahan dan menebuk dinding untuk masuk ke premis pengurup wang tersebut.

“Suspek melarikan wang tunai yang disimpan dalam sebuah peti besi seberat 250 kilogram dengan menggunakan pintu hadapan premis berkenaan dan polis sedang menyiasat identiti suspek tersebut,” katanya.

Khaw berkata kejadian disedari oleh pekerja premis itu ketika hendak memulakan perniagaan pagi semalam. — Bernama