Empat atlet Sarawak kibar cabaran negara

0

Dipilih wakili negara pada Kejohanan Olahraga Remaja ASEAN di Vietnam bulan depan
KUCHING: Walaupun gagal meraih banyak pingat emas dalam acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma XIII) di Melaka baru-baru ini, Sarawak tetap berbangga apabila empat atletnya dipilih mewakili kontinjen negara pada kejohanan Olahraga Remaja ASEAN di Vietnam bulan depan.

Jackie Wong

Jackie Wong

Atlet-atlet terbabit yang terpilih ialah pemenang pingat emas dalam acara baling tukul besi, Jackie Wong, pelari 100 meter, Ambrose Jilom, atlet baling tukul besi wanita, Casier Renee dan atlet lempar cakera, Ngu Mee Zing.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Abdul Karim Ibra­him berkata pemilihan atlet-atlet Sarawak itu adalah ber­dasarkan pencapaian mereka pada Sukma XIII di Melaka dan juga kejohanan kebang­saan di Kedah, April lalu.

“Kita telah menyenarai pendek atlet-atlet kebang­saan termasuk atlet-atlet Sarawak untuk mengibarkan cabaran kontinjen negara pada kejohanan Olahraga Remaja ASEAN ke-14 di Ha­noi, Vietnam pada 1 hingga 4 Julai depan,” katanya kepada Utusan Borneo di Melaka, baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, keempat-empat atlet Sarawak yang terpilih menyertai kon­tinjen negara itu akan melapor diri untuk memasuki kem latihan sebaik tamat temasya Sukma XIII di Melaka.

Beliau berkata walaupun atlet-atlet olahraga Sarawak gagal membuktikan keheba­tan mereka pada temasya Suk­ma XIII di Melaka baru-baru ini, mereka tetap mendapat kepercayaan dan pengiktira­fan untuk mewakili negara.

“Kita telah memilih atlet-atlet terbaik bagi mewakili negara berdasarkan persem­bahan dan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Jackie merupakan peme­nang pingat emas kontinjen Sarawak dalam acara baling tukul besi dengan catatan sejauh 55.14 meter, sekali gus memecah rekod kebangsaan milik beliau sendiri.

Ambrose pula gagal melay­akkan diri dalam kelompok lapan atlet terbaik bersaing dalam acara 100 meter Sukma XIII di Melaka yang hanya sekadar mampu menduduki tangga kesembilan.

Ambrose hanya mampu melepasi dua saringan awal dan mencatat masa 10.80 saat berbanding rekod terbaiknya, 10.71 saat ketika mewakili Sarawak pada Kejohanan Su­kan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor bulan lalu.

Manakala Casier pula merupakan pemenang pin­gat perak Sukma XIII Melaka baru-baru ini dengan men­catat lontaran sejauh 44.65 meter di belakang atlet Pa­hang, Patria Pang.

Patria yang merangkul pingat emas dengan balingan sejauh 48.31 meter tidak ter­pilih mewakili negara kerana terlanjut usia.

Sementara atlet muda lem­par cakera Sarawak, Ngu Mee Zing terpilih mewakili ne­gara berdasarkan pencapaian terbaiknya pada kejohanan kebangsaan Terbuka Kedah, April lalu.

Senarai atlet kebangsaan seperti berikut: Ambrose Jilom (100m), Eddie Edward (100m), Schzuan Mohd Rusily (200m), Mohd Amir Fakhri Ismail (400m), Muhammad Lasaleh (800m), Nik Hafiz Nik Mohamad (800m, 1,500m) dan Muhd Ajmal Aiman Mat Hasan (110m halangan).

Mohd Baihaqi Razlan (400m halangan), Dhiban Raj Theyyagason (10,000m jalan kaki), Muhd Khairil Harith Harun (10,000m jalan kaki), Nauraj Singh (lompat tinggi), Kavee Alagan Anpal­agan (lompat tinggi), Mohd Hakimi Ismail (lompat jauh, lompat kijang) dan Jackie Wong (tukul besi).

Turut terpilih Siti Nurhay­ati Zulkifli (100m, 200m), Za­idatul Husna Zulkifli (100m, 200m), Nurul Assikin Mohd Rasid (400m), Raja Nur­sheena Raja Azhar (100m halangan), Song Gie Chee (10,000m jalan kaki), Nor­liyana Kamaruddin (lompat tinggi), M. Sangiyani (lompat tinggi), Noor Shahidatun Nadia Mohd Zuki (lompat jauh/lom­pat kijang), Nurul Fatimatul (lompat kijang) dan Ngu Mee Zing (lempar cakera).