ADUN Pujut dedah pembangkang buka taska untuk berdakyah

0

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia semalam mendedahkan beberapa taktik kotor yang digunakan pihak pembangkang untuk memenangi hati rakyat, termasuk membuka taman asuhan atau taska di kawasan majoriti Bumiputera di sini.

Andy Chia

Andy Chia

“Kita tahu ada beberapa taska di sini dibayangi parti politik daripada pihak pembangkang dan mereka menggunakan medium itu untuk menyampaikan dakyah termasuk memanipulasikan isu sensitif,” katanya.

Andy, bagaimanapun berkata bahawa kehadiran Parti Islam Semalaysia (PAS) di Miri tidak memberi sebarang tekanan kepada Barisan Nasional (BN)

Malah, katanya, PAS tidak mempunyai sokongan yang kukuh dan tiada masalah bagi BN mengegaklan kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang.

“Kita yakin PAS tiada kekuatan untuk merampas kerusi daripada parti-parti komponen BN kerana mereka (PAS) hanya menumpukan perhatian terhadap kawasan yang majoritinya Islam sedangkan kepentingan kaum lain tidak diambil kira,” jelasnya.

Namun, kata Andy, partiparti pembangkang tidak seharusnya terlalu taksub untuk merebut kuasa politik di Sarawak sehingga memanipulasi isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

Katanya, pembangkang sentiasa mencari jalan untuk meresap masuk ke dalam politik Sarawak, termasuk menggunakan cara kotor, seperti memanipulasi isu keagamaan.

“Mereka (pembangkang) boleh diumpamakan seperti merebut layang-layang yang putus tali, sentiasa mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kemahuan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ditanya peluang BN untuk menang dalam pilihan raya akan datang, Andy percaya bahawa rakyat di Sarawak terutamanya Miri masih memerlukan BN untuk mentadbir urus Sarawak.

“Rakyat perlu melihat perkembangan di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR), yang sentiasa menimbulkan pelbagai masalah, seterusnya menyebabkan rakyatnya menderita,” katanya.

Terdahulu, Andy telah meninjau projek penurapan Jalan Pujut 3A sejauh 400 meter dan menelan belanja kira-kira RM200,000 yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Ia adalah berita baik kepada penduduk di kawasan ini kerana mereka telah menunggu selama dua tahun unyuk jalan tersebut dinaiktaraf dan ia lambat dilaksanakan kerana kekurangan peruntukan,” katanya.

Hadir sama meninjau tapak projek berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Sebastian Ting.