Banci waktu malam di Kelantan kesan penduduk tidak miliki rumah

0

KOTA BAHARU: Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan akan menjalankan gerakan membanci penduduk pada waktu malam untuk mengesan penduduk yang tidak mempunyai rumah kediaman.

MAKLUMAT DIRAHSIAKAN: Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Roslina Mohamad (kanan) membantu pembanci, Mohd Farshan Hirzi Azmi mendapatkan maklumat statistik daripada seorang penduduk, Fatimah Abdullah, 60, (kiri) ketika mengadakan bancian sempena program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 di kawasan Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu, semalam. Jabatan Perangkaan Negeri Terengganu telah melantik seramai 900 tenaga kerja secara sambilan bagi jawatan penyelia dan pembanci untuk melakukan bancian ke atas hampir 1.1 juta rakyat negeri ini yang bermula semalam sehingga 22 Ogos depan. — Gambar Bernama

Penolong Pengarah jabatan itu Rusnani Hussin berkata gerakan itu ditumpukan kepada golongan penduduk yang tidak memiliki rumah dan sukar dihubungi pada siang hari.

Beliau yang juga Ketua Pusat Pemprosesan Banci negeri berkata operasi itu dijangka bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir jam 7 pagi.

“Gerakan ini akan dilancarkan secara bersepadu dengan kerjasama polis di lokasi yang telah dikenal pasti di pusat bandar di seluruh negeri bermula malam ini,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan melantik 1,393 petugas sambilan bagi menjalankan operasi membanci penduduk dan perumahan di seluruh negeri ini yang bermula serentak di seluruh negara semalam hingga 22 Ogos.

“Usaha ini juga boleh membantu mempercepatkan proses membanci penduduk dan perumahan yang dilancarkan di seluruh negara itu,” katanya.

Rusnani berkata bancian itu perlu bagi mencapai matlamat menentukan status dan bilangan penduduk serta jumlah isi rumah di Kelantan yang kini dianggarkan seramai 1.67 juta orang.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana semua maklumat yang diperoleh akan dirahsia mengikut peruntukan di bawah Akta Banci tahun  1960. — Bernama