Khairy dakwa yayasan dipengerusi Anwar terima dana Amerika Syarikat

0

­
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata Yayasan Masa Hadapan (FFF) yang dipengerusikan Ketua Pem­bangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2006 pernah menerima dana AS$21.3 juta daripada Amerika Syarikat.

Khairy berkata laporan Projek Kebertanggungjawa­ban Kerajaan (GAP) Amerika Syarikat yang dikeluarkan awal tahun ini menyatakan yayasan berkenaan menerima dana AS$21.3 juta (RM68.23 juta) yang disalurkan melalui Kongres Amerika bagi mem­biayai yayasan itu.

“Kongres Amerika sudah mengeluarkan AS$21.3 juta untuk yayasan itu dan ini jelas bertentangan dengan keny­ataan Anwar pada 2007 yang mendakwa tidak ada langsung dana yang diberikan Amerika kepada FFF.

“Tindakan beliau itu seolah-olah mahu menutup peranan Amerika dalam membiayai yayasan yang diterajuinya itu,” katanya kepada pem­berita di lobi Parlimen di sini kelmarin.

Yayasan berkenaan merupakan badan bebas yang ditubuhkan pada 2005 untuk membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Ten­gah dan Afrika Utara.

Khairy berkata laporan GAP yang ditulis berdasarkan 267 dokumen yang dikeluar­kan Jabatan Negara Amerika juga menyatakan Anwar turut memberi akuan tidak tepat kepada Kongres dalam usaha mendapatkan dana berkenaan.

Bagi mendapatkan dana itu, Kongres menetapkan FFF mesti mendapat dana secocok daripada negara lain, sedangkan laporan FFF men­unjukkan yayasan itu hanya memperoleh kurang daripada AS$6.4 juta (RM20.49 juta), berbanding AS$22.26 juta (RM71.29 juta) yang ditetap­kan, katanya.

“Beliau dituduh mem­beri akuan tidak tepat ke­pada Kongres kerana dalam perjanjian dengan kerajaan Amerika, beliau sebagai pengerusi menyatakan ya­yasan berkenaan mendapat komitmen daripada kerajaan lain termasuk Qatar dan negara Timur Tengah tapi sebenarnya tidak dapat,” katanya. — Bernama