‘King Cobra’ dinobatkan Raja Sungai Samarahan

0

KOTA SAMARAHAN:  ‘King Cobra’ dinobatkan sebagai Raja Sungai Samarahan apabila menjuarai acara akhir kejohanan Lumba Pam Ski Batang Samarahan 2010 di Tebingan Pangkalan Feri Samarahan, di sini petang semalam.

JUARANYA: Jomali (dua kiri) meraikan kemenangannya setelah menjuarai kejohanan Lumba Pam Ski Batang Samarahan semalam.

JUARANYA: Jomali (dua kiri) meraikan kemenangannya setelah menjuarai kejohanan Lumba Pam Ski Batang Samarahan semalam.

‘King Cobra’ yang dipandu oleh pelumbanya, Jomali Japot berjaya meraih sebuah piala dan wang tunai berjumlah RM250 sekali gus menyingkirkan para pencabarnya dalam acara akhir berkenaan.

Naib juara perlumbaan itu dimenangi oleh bot ‘Topan’ yang dikemudi oleh Moktar Jelani dengan menerima hadiah sebuah piala dan wang tunai RM200.

Tempat ketiga pula disandang bot dikenali sebagai ‘Naga Ganas’ yang dipandu oleh Syahdan Mahidi dengan meraih sebuah piala berserta wang tunai RM150.

Seramai 62 peserta bersaing pada perlumbaan terbabit yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Kelab Pam Ski Kota Samarahan.

Jomali yang ditemui selepas itu melahirkan rasa gembira-nya setelah berjaya dinobatkan sebagai juara acara akhir kejohanan terbabit.

“Saya amat gembira dengan kemenangan yang dikecapi ini walaupun bersaing begitu sengit dengan pelumba-pelumba lain,” katanya.

Menurut Jomali, meskipun menjuarai kejohanan itu, beliau agak kecewa apabila menduduki tempat kedua dan ketiga dalam acara saringan.

Namun berkat usaha dan semangat kekentalan yang ditunjukkannya, gelaran Raja Sungai Samarahan akhirnya menjadi milik beliau.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi pemangkin buat diri saya untuk bersaing dengan lebih baik pada perlumbaan akan datang,” katanya.

Dalam acara saringan awal sebelah pagi, King Cobra (Jomali Japot) telah membuktikan kehebatannya apabila muncul juara. Diikuti tempat kedua Naga Ganas (Syahdan Mahidi) dan ketiga Todak Mas Satu (Zulkarnain Jas).

Sementara saringan kedua pula, Topan (Moktar Jelani) muncul juara diikuti King Cobra dan Todak Mas Dua.

Saringan kedua menyaksikan Topan terus menguasai perlumbaan terbabit setelah muncul juara, diikuti Naga Ganas (tempat kedua) dan King Cobra (ketiga).

Manakala saringan terakhir (sebelum final), Naga Ganas ternyata ‘ganas’ apabila muncul juara sambil diikuti King Cobra (kedua) dan Topan (ketiga).

Dalam acara perlumbaan tertutup veteran, pelumba yang menamakan bot ‘Ado Malam’ (Reduan Pawi) muncul juara diikuti Kuda Laut (Asobeng), Budak Kampung (Sofian Ahmad) dan ‘Jiew’ (Wan Hamid Tengku Sulaiman).