BCF platform kekal budaya, tradisi

0

SIBU: Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) adalah satu platform terbaik untuk mengekalkan kebudayaan dan tradisi masyarakat Borneo di negeri ini.

TANDA INGATAN: Awang Ali (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Asfia selepas menyempurnakan Pentas Melayu/Melanau BCF di Sibu, malam kelmarin. Turut kelihatan Awang Bemee (dua kanan), Sim (tiga kiri) serta yang lain.

TANDA INGATAN: Awang Ali (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Asfia selepas menyempurnakan Pentas Melayu/Melanau BCF di Sibu, malam kelmarin. Turut kelihatan Awang Bemee (dua kanan), Sim (tiga kiri) serta yang lain.

Ciri-ciri kebudayaan Borneo mampu jadi tarikan kepada pelancong luar

Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar berkata, ciriciri kebudayaan masyarakat Borneo adalah sangat unik dan mampu menjadi tarikan kepada pelancong luar.

“Pulau Borneo merupakan pulau yang ketiga terbesar di dunia dan ia sangat terkenal di serata dunia. Oleh itu, BCF adalah sangat relevan untuk kita memperkenalkan budaya masing-masing menerusi pesta ini.

“Selain itu BCF juga telah berjaya menghimpunkan ramai pengunjung untuk menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Borneo di negeri ini dan pesta ini sangat menarik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pentas Melayu/Melanau BCF di Dataran Bandar Sib Fasa Satu di sini, malam kelmarin.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pentas Melayu/Melanau BCF Kaunselor Awang Ali Bahar Pengiran Kerta serta para tetamu jemputan yang lain.

Katanya, selain menjadi tarikan kepada para pelancong luar, BCF mampu memperkukuhkan perpaduan dan toleransi di kalangan penduduk di Sibu dan masyarakat luar.

“Pesta ini amat sesuai dan sejajar dengan konsep 1Malaysia. BCF adalah sebuah pesta untuk semua kerana ia berupaya mewujudkan semangat perpaduan semua kaum,” jelasnya yang juga merupakan ADUN Semop.

Asfia berpendapat, BCF adalah sebuah pesta yang memperkayakan semangat perpaduan melalui kesenian dan kebudayaan serta menjadi kebanggaan dan identity kepada bandar Sibu kepada orang luar.

“Sebut saja BCF, semua orang tahu. Oleh itu, penduduk di Sibu ini harus bersama-sama berusaha untuk memastikan BCF terus dianjurkan pada setiap-tahun sekali gus mampu menjadi produk pelancongan yang penting kepada negeri ini,” tambahnya.

Hadirin pada malam berkenaan telah dihiburkan oleh persembahan kumpulan muzik Gerenek Melayu dalam program Gema Rentak Melayu.