JKN diberi hak penjagaan sementara 19 hari ke atas lima orang kanak-kanak

0

KUCHING: Mahkamah Kanak-kanak di sini semalam membenarkan hak penjagaan sementara bagi lima kanak-kanak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Negeri (JKN) selama 19 hari.

Permohonan tersebut dibuat oleh JKN dan dibenarkan oleh Majistret Nelson W. Angang yang mengarahkan hak jagaan sementara ke atas kanak-kanak itu.

Dalam permohonan itu, pihak jabatan berkata, pegawai mereka memerlukan masa untuk menyediakan laporan kebajikan sosial kanak-kanak terbabit.

Permohonan tersebut dibuat bagi pihak lima kanak-kanak itu yang berusia antara sebulan hingga hampir 13 tahun.

Tiga daripada kanak-kanak tersebut diambil dari rumah seorang “Datuk” pada Rabu lepas di Richmond Hill, Stampin.

Manakala dua lagi kanak-kanak dijumpai di sebuah rumah di Batu Kawah Khamis lalu.

Nelson menetapkan 6 Ogos akan datang untuk mendengar semula kes itu bagi meneliti laporan lengkap yang dikemukakan pihak jabatan selain membuat keputusan demi kepentingan kanak-kanak terbabit.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi menolak keputusan Mahkamah Majistret untuk menempatkan kanak-kanak tersebut di bawah penjagaan pihak jabatan.

Ahli keluarga kanak-kanak tersebut cuba mendapatkan hak penjagaan ke atas kanakkanak itu ekoran perintah mahkamah pada hari yang sama namun gagal.

Mahkamah juga memberitahu hak penjagaan sementara kanak-kanak itu diberi kepada JKN bertujuan membantu meneliti latar belakang kanak-kanak terbabit.