Pelajar kolej dirogol lelaki dikenali melalui rangkaian laman sosial

0

SIBU: Seorang pelajar kolej di sini telah menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang baru dikenalinya melalui sebuah rangkaian laman sosial.

Kejadian itu berlaku di sebuah tempat letak kereta di Pasar Sentral Sibu antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari kelmarin.

Mangsa yang berumur 18 tahun, sebelum ini hanya mengenali lelaki tersebut melalui rangkaian laman sosial pada dua bulan lepas dan mula bertemu sejak dua minggu lalu.

Dalam kejadian pada Rabu itu, mangsa berada di luar kolejnya apabila lelaki itu muncul dengan menaiki sebuah kereta lalu mempelawanya masuk ke dalam kereta.

Menurut lelaki tersebut dia kononnya ada perkara yang ingin diberitahu kepada mangsa.

Setelah mangsa menolak pelawaan lelaki itu, suspek dikatakan menarik tangannya lalu memaksa mangsa masuk ke dalam kereta sebelum membawanya ke tempat letak kereta bertingkat di Pasar Sentral Sibu dekat sini.

Namun mangsa mendakwa kurang pasti sama ada dia telah dibawa naik ke atas tingkat lapan atau sembilan, di bangunan letak kereta itu, di mana suspek telah memperkosanya.

Suspek telah memberi amaran kepada mangsa agar tidak memberitahu kepada sesiapapun, sebelum dia meninggalkan mangsa, menyebabkan mangsa pulang berseorangan menaiki van awam ke kediamannya di Sibu Jaya sekitar 12 tengah hari.

Dia juga berpesan kepada mangsa bahawa dia adalah seorang ahli gengster yang ditakuti di sini, menyebabkan mangsa tidak berani memberitahu ibu bapanya pada awalnya.

Namun sikap mangsa yang ketakutan dan tidak seperti biasa selepas pulang menyebabkan ibunya memaksa mangsa menceritakan perkara yang berlaku.

Mangsa dikatakan tidak dapat bercakap dengan elok kerana masih berada dalam trauma selepas insiden tersebut cuma memberitahu ibu bapanya tentang kejadian itu pada sebelah malam kelmarin.

Mangsa yang masih trauma dibawa oleh ibu bapa dan ayah saudaranya membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini pagi semalam.

Pihak polis yang menerima laporan memberitahu kes berkenaan kini sedang disiasat.