Pelihara, popularkan warisan budaya masyarakat berbilang kaum Sarawak

0

SIBU: Kekayaan warisan budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang menjadi salah satu daya tarikan pelancong luar negara melawat negeri ini hendaklah dipelihara dan dipopularkan lagi.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata, sesungguhnya Festival Kebudayaan Borneo (BCF) yang dijadikan acara tahunan di bandar ini adalah tempat paling baik bagi masyarakat majmuk di Sarawak mempopularkan budaya masing-masing.

“Selain boleh dijadikan tontonan pelawat dari luar negara, kecantikan serta keunikan budaya masyarakat kita juga dapat memperkenalkan Sibu di peta dunia,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Pentas Melayu/Melanau sempena BCF di Dataran Bandar Sibu di sini, malam kelmarin.

Pentas Melayu/Melanau itu bermula sejak 16 Julai (Jumaat lepas) dan dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar pada malam Sabtu lalu.

Banyak acara yang mengetengahkan budaya masyarakat Melayu dan Melanau di sini diadakan selama seminggu di pentas itu. Antara kumpulan yang mengetengahkan persembahan mereka di pentas itu ialah Kumpulan Gerenek Melayu, Pertandingan Oh Jejaka dan Pertandingan Lagu Melayu.

Abu Seman berkata, budaya juga boleh menyatu serta mengeratkan lagi perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan BCF pada suatu hari kelak pasti tersohor di seluruh negara kalau tidak di mata dunia.

Dengan demikian, beliau berkata, usaha Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menganjurkan BCF memang tepat sekali serta relevan dan berharap dari tahun ke tahun pesta itu akan bertambah meriah lagi dan mendapat sambutan hangat daripada semua penduduk negeri ini.

Menurut Abu Seman, perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum di negeri ini tanpa mengira perbezaan budaya dan agama merupakan asas untuk membentuk sebuah negeri yang stabil, aman dan makmur.

“Justeru rakyat harus memelihara perpaduan dan keharmonian hidup yang sedia terjalin untuk bersamasama membentuk gagasan 1Malaysia dan membina Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pentas Melayu/Melanau BCF 2010 Kaunselor Awang Ali Bahar Pengiran Kerta, Pengerusi Persatuan Melanau Sibu Felix Bohari dan Kaunselor Isa’ali Wasli.