IPOH:Tiga terbunuh manakala lima yang lain cedera apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas ke dalam gaung di Km 301 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Gopeng dekat sini semalam.
Jurucakap polis berkata kesemua mangsa yang terbunuh dalam nahas kira-kira jam 10.30 pagi itu adalah wanita.
Kenderaan berkenaan yang sedang menghala ke arah utara dikatakan tercampak kira-kira 30 meter ke dalam gaung selepas merempuh besi penghadang, katanya.
Seorang mangsa yang mati tercampak keluar manakala dua lagi tersepit di dalam kenderaan yang remuk itu.
Beliau berkata lima mangsa yang cedera telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.
Identiti mangsa masih belum dapat dipastikan tetapi beberapa daripadanya adalah warga asing, kata jurucakap itu. — Bernama