Suspek kes peras ugut ditangkap

0

SIBU: Polis di sini berjaya menangkap semua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut terhadap seorang suri rumah berusia 47 tahun yang berlaku Sabtu lepas.

SUSPEK: Beberapa orang suspek yang dibawa ke lokap selepas polis menangkap mereka di sebuah rumah di Jalan Beruang, Sibu malam kelmarin.

SUSPEK: Beberapa orang suspek yang dibawa ke lokap selepas polis menangkap mereka di sebuah rumah di Jalan Beruang, Sibu malam kelmarin.

Semua suspek terlibat dalam kes peras ugut terhadap suri rumah

Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri dalam lingkungan usia 20-an manakala seorang lagi wanita iaitu seorang pelajar kolej di Kuching berumur 20 tahun telah ditahan Rabu lalu (21 Julai) manakala lapan orang lagi ditangkap di sebuah rumah di Jalan Beruang pada kira-kira jam 7 petang semalam.

Menurut sumber, dalang kumpulan peras ugut tersebut yang berumur 22 tahun dan berasal dari Sarikei berjaya ditangkap dalam serbuan polis di sebuah rumah bersama tujuh orang yang lain yang turut berada di situ.

Dalang tersebut dikatakan tiba di Sibu sejak dua minggu lalu juga dipercayai melarikan diri daripada hutang dan dicari orang kerana hutang judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia dan perjudian lain.

Dalang tersebut juga dikatakan penagih dadah tegar di mana pelajar kolej yang telah ditahan terlebih awal itu merupakan teman wanitanya dan turut dipercayai mengambil dadah jenis syabu bersamanya sekali-sekala.

Teman wanita dalang tersebut dikatakan tiba di sini menaiki pesawat pada 21 Julai lalu sebelum menyerah diri di balai polis pada jam 6.20 petang hari itu juga.

Difahamkan pelajar tersebut menyerah diri selepas dinasihati oleh ahli keluarganya memandangkan polis sedang mencarinya untuk membantu siasatan polis.

Menurut sumber, dalang tersebut memilih untuk melakukan jenayah peras ugut sebagai jalan singkat untuk menyelesaikan masalah hutangnya dan tidak mempunyai sasaran yang spesifik.

Bagaimanapun pada sekitar jam 9.30 pagi pada 17 Julai lalu, dalang tersebut bersama empat orang lagi termasuk teman wanitanya telah ternampak sebuah kereta mewah iaitu kereta jenis Toyota Camry yang dipandu oleh suri rumah (mangsa) berkenaan sedang menunggu anaknya di luar SMK Methodist.

Bagaimanapun, ketika menunggu anaknya di dalam kereta, mangsa yang bernama Wong mendakwa keretanya telah dilanggar suspek dari belakang dan merosakkan bahagian belakang keretanya.

Difahamkan seorang daripada suspek yang dipercayai teman wanita dalang tersebut keluar dari kereta yang melanggar itu untuk berunding dan berjanji untuk membayar ganti rugi kepada Wong.

Teman wanita dalang tersebut dikatakan menawarkan untuk memandu kereta Wong ke bengkel yang telah dipilih mangsa.

Tanpa mengetahui motif tidak baik yang terselindung, Wong terus bersetuju untuk membenarkan pelajar kolej itu untuk memandu keretanya untuk dibaiki di bengkel yang telah dipersetujui.

Manakala empat suspek termasuk seorang lagi wanita yang masih berada di dalam kereta mereka menawarkan Wong untuk membawanya ke bengkel berkenaan tanpa menolak ajakan mereka.

Wong masuk ke dalam kereta itu dengan yakin tanpa mengesyaki apa-apa sehinggalah suspek-suspek mula berlaku kasar terhadapnya sebelum diikat dan matanya ditutup dengan sehelai kain lalu dimasukkan ke dalam guni.

Suspek dipercayai membawanya ke sebuah tempat yang terselindung sebelum mengeluarkannya dari guni tersebut dan meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 daripada Wong.

Menurut sumber, Wong yang berada dalam keadaan panik diminta untuk menghubungi saudara-mara untuk mendapatkan wang tersebut.

Difahamkan, saudara-maranya juga berjaya mendapat jumlah wang tebusan yang diminta dan sebahagian wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun ATM dan juga akaun suspek yang menggunakan nama berlainan.

Difahamkan, transaksi tersebut hanya mengambil masa sehari untuk dilakukan selain tindakan berani suspek mengambil sendiri secara terbuka wang tebusan tersebut daripada saudara mangsa.

Wong kemudiannya dilepaskan sekitar jam 7 petang selepas suspek dipercayai menerima wang tebusan itu dalam masa sehari.

Sebelum dilepaskan, suspek juga dikatakan memberi amaran dan mengugut untuk membunuh Wong sekiranya dia dan saudaranya membuat laporan polis.

Wong tidak menghiraukan ugutan tersebut dan membuat laporan polis pada 18 Julai di mana polis terus bertindak.

Polis telah menjumpai kereta Wong ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Jalan Wong King Huo dekat sini.

Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menangkap dua suspek iaitu pasangan suamiisteri yang ditangkap secara berasingan iaitu isterinya ditahan pada jam 4 petang pada 19 Julai lalu dan suaminya ditangkap pada 20 Julai iaitu sehari selepas itu.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Beruang semalam, pasukan polis yang diikuti oleh Unit Anjing Polis dan Anti Narkotik telah menyerbu masuk ke rumah tersebut di mana lima orang berada di dalam ruang tamu manakala tiga orang lagi menyembunyikan diri di bahagian belakang rumah tersebut.

Difahamkan oleh sumber, mereka yang berada di dalam rumah dikatakan baru sahaja selesai mengambil dadah jenis syabu berpandukan peralatan yang dijumpai di rumah berkenaan.

Turut dijumpai ialah sepasang baju yang dipakai oleh dalang semasa membeli cincin emas di sebuah kedai emas di Jalan Tukang Besi dekat sini yang dianggarkan bernilai lebih RM6,000 dengan menggunakan kad kredit mangsa.

Difahamkan juga hanya tiga orang daripada lapan orang yang ditahan di rumah tersebut terlibat secara langsung manakala empat lagi terlibat secara tidak langsung dengan kes peras ugut tersebut.

Kesemua mereka kini ditahan di lokap sementara menunggu untuk dibicarakan di mahkamah.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohd menerangkan bahawa kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes peras ugut berpandukan bukti yang terdahulu.

Bagaimanapun, Huzir berkata pihaknya akan menukar dakwaan tersebut kepada kes culek yang akan membawa hukuman mati jika didapati bersalah sekiranya mereka mendapat bukti yang lebih.